Semasa

KDN gerak anggota, aset ke kawasan terjejas banjir

Kerajaan telah menggerakkan anggota dan aset-aset jabatan serta agensi pengurusan banjir di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) ke kawasan terjejas banjir khususnya di negeri Pantai Timur

KDN dalam satu kenyataan memaklumkan, sejumlah 647 anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan 154 petugas Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) diatur gerak dengan kekuatan aset sebanyak 35 bot, 29 lori dan 56 kenderaan pacuan empat roda.

“Kekuatan anggota dan aset akan ditambah berdasarkan situasi bencana,” menurut KDN.

Kenyataan tersebut turut menjelaskan gerak kerja PDRM turut dibantu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM)

“Tugas dan tanggungjawab KDN diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah berpandukan Majlis Keselamatan Negara (MKN) No. 20 (Dasar dan Mekanisme Pengurusan Bencana Negara,” jelas kenyataan tersebut.

BACA LAGI: Kerajaan peruntukkan RM35.8 juta sebagai persedian hadapi banjir

KDN sementara itu menasihatkan seluruh rakyat berisiko terkesan akibat bencana banjir untuk sentiasa berada dalam keadaan bersiap sedia, berwaspada dan bertindak mengambil langkah sewajarnya bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.

“Kementerian juga ingin mengingatkan orang ramai supaya patuh kepada arahan pihak berkuasa bagi melancarkan operasi bantuan dan menyelamat mangsa-mangsa banjir.

“Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat terkini berhubung situasi banjir boleh menghubungi Pusat Kawalan Malaysia (MCC) PDRM melalui talian 03-2266 3333/03-2266 3444/03-2266 3451 atau talian MERS 999 bagi bantuan kecemasan,” kata kenyataan tersebut.

Related Articles

Back to top button