Semasa

Kerajaan salur RM135,000 untuk persiapan gerak kerja pascabanjir

Kementerian Perpaduan Negara (KPN) menyalurkan RM135,000 kepada 12 pejabat Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) sebagai persiapan gerak kerja pascabanjir.

Menterinya Datuk Aaron Ago Dagang berkata, peruntukan itu selain untuk aktiviti pembersihan lokasi terjejas banjir, ziarah perpaduan turut meliputi program seperti Rukun Tetangga (RT) Cares, Dapur Komuniti Kawasan Rukun Tetangga (KRT) dan gerak kerja lain yang bersesuaian dengan keperluan semasa komuniti.

Melalui kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu beliau turut memaklumkan jentera perpaduan peringkat negeri, daerah atau bahagian seperti KRT, Skim Rondaan Sukarela (SRS) dan Skuad Uniti (SU) telah diarahkan untuk mengemukakan laporan dan butiran lengkap berkenaan mangsa banjir di kawasan terjejas.

BACA LAGI: Banjir temenung Sungai Golok: NRES bakal ubah suai struktur PLSB

“Menurut laporan sehingga 24 Dis, sebanyak lima KRT telah terjejas banjir dengan bilangan mangsa yang terlibat ialah seramai 450 orang daripada 198 keluarga,” jelasnya.

Sementara itu menurut Aaron, kementeriannya akan terus memantau keadaan di kawasan terjejas banjir manakala KRT yang terkesan banjir dinasihatkan agar sentiasa berwaspada, menjaga keselamatan diri serta mematuhi arahan pihak berkuasa dari semasa ke semasa.

Related Articles

Back to top button