Nasional

Masjid, surau disaran adakan solat hajat, pohon kesejahteraan daripada musibah banjir

Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) memohon semua masjid dan surau di seluruh negara mengadakan solat hajat bagi mendoakan keselamatan dan kesejahteraan berikutan bencana banjir yang melanda beberapa negeri.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, solat hajat itu juga bertujuan mendoakan keselamatan semua mangsa yang terjejas akibat bencana berkenaan.

“Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) memohon masjid dan surau di seluruh negara dapat mengadakan solat hajat mendoakan keselamatan dan kesejahteraan untuk negara dan seluruh mangsa yang terjejas.

“Semoga seluruh mangsa diberikan ketabahan dengan dugaan yang dihadapi ketika ini,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Mohd Na’im berkata, beliau turut mengarahkan agensi dan seluruh jentera Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk bekerjasama dengan pihak berkuasa selain turun padang membantu mangsa banjir menerusi tabung bantuan sedia ada.

Katanya, beliau bersimpati dan sedih dengan musibah yang menimpa mangsa berikutan banjir di beberapa negeri.

“Saya juga akan bersama agensi di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) untuk meninjau dan membantu saudara kita yang terkesan di negeri terjejas.

“Hari ini saya akan tiba di Kuala Lumpur selepas selesai urusan lawatan ke Dayah Madani, Acheh, Indonesia bagi memperkukuh kerjasama antara dua negara terutama melibatkan umat Islam dua negara serumpun. Lawatan ini saya singkatkan, berikutan kejadian banjir yang menimpa rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada para petugas barisan hadapan terutama Polis Diraja Malaysia, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan seluruh agensi yang bertungkus lumus membantu mangsa banjir.

Baca lagi:

Related Articles

Back to top button