Mahkamah

Nik Nazmi serah surat tuntutan kepada Chegubard terkait dakwaan rasuah projek tebatan banjir

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad melalui peguamnya sudah menyerahkan Surat Tuntutan kepada Badrul Hisham Shaharin supaya menarik balik serta-merta dan memohon maaf secara terbuka atas kenyataan berunsur fitnah berhubung projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB).

Nik Nazmi memaklumkan surat tuntutan itu sudah diserahkan kepada Badrul Hisham atau lebih dikenali sebagai Chegubard, semalam berhubung dakwaan kes rasuah RTB bernilai lebih RM16 bilion yang didedahkan Ahli Jawatankuasa Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu.

“Beratnya tuduhan palsu ini memerlukan tindakan undang-undang yang tegas untuk menjaga nama baik dan kewibawaan saya, Kementerian dan Kerajaan Persekutuan.

“Komitmen kami kekal dalam menegakkan kebenaran dan membetulkan tanggapan serong ekoran tuduhan tidak berasas seperti ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, dengan berlangsungnya prosiding undang-undang itu, ia mengesahkan dedikasi pihaknya terhadap ketelusan serta pematuhan kepada proses undang-undang dan pada masa yang sama turut mengalu-alukan sebarang siasatan oleh pihak polis untuk bertindak atas dakwaan itu.

Pada 21 Disember lalu, Chegubard mendakwa kononnya berlaku elemen rasuah dalam pelaksanaan projek RTB dikendalikan oleh kementerian itu membabitkan nilai lebih RM16 bilion dan terdapat syarikat serta individu yang langsung tidak dikenali memperoleh komisen sebagai proksi kepada menteri.

Baca juga:

Related Articles

Back to top button