Semasa

PM Anwar dijadualkan turun Kelantan hari ini, tinjau sendiri situasi banjir

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijadualkan ke Kelantan hari ini untuk meninjau sendiri situasi banjir yang melanda negeri itu.

Perkara itu dikongsi Anwar menerusi hantaran di Facebook susulan pertemuannya bersama Perdana Menteri Thailand Srettha Thavisin di Phuket.

“Insya-ALLAH esok saya akan turun ke Kelantan bagi meninjau sendiri situasi yang semakin membimbangkan di sana.

“Semoga ALLAH segera mengangkat bencana ini,” katanya pada Rabu.

Sekretariat Pengurusan Bencana negeri Kelantan dalam kenyataan memaklumkan jumlah mangsa banjir di negeri itu berjumlah17,378 orang setakat petang semalam.

BACA LAGI: JBPM kerah tiga helikopter untuk operasi menyelamat di Pantai Timur

Kesemua mangsa dari 5,541 keluarga dilaporkan sedang berlindung di 63 buah pusat pemindahan sementara (PPS).

“Pasir Mas merekodkan mangsa paling tinggi iaitu seramai 13,844 orang diikuti, Kuala Krai (1,896), Tanah Merah (902), Tumpat (239) dan Gua Musang (105),” katanya sekretariat tersebut.

Setakat pukul 4 petang semalam, Tumpat menjadi jajahan terbaru di negeri itu yang ditenggelami banjir, manakala Pasir Mas merupakan daerah paling teruk terjejas.

Agensi Pengurusan Bencana Negara, Jabatan Perdana Menteri (Nadma) (JPM) dalam satu kenyataan pula memaklumkan terdapat tiga kematian akibat banjir di Kelantan melibatkan seorang kanak-kanak lelaki di Kota Bharu dan dua kanak-kanak perempuan di Pasir Mas direkodkan setakat ini.

Sebagai rekod, ini kali kedua Anwar sebagai perdana menteri turun meninjau situasi banjir di Kelantan, negeri yang diperintah pembangkang itu.

Anwar pada 21 Disember tahun lalu mengadakan lawatan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Panglima Raja, Pasir Mas bagi menyantuni mangsa.

Related Articles

Back to top button