PM Anwar santuni mangsa, tinjau situasi banjir di Kelantan
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tiba di Kelantan hari ini untuk meninjau sendiri situasi banjir di negeri itu.
Pesawat yang membawa Perdana Menteri mendarat di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra (LTSIP) Pengkalan Chepa, pada pukul 12.08 tengah hari.
Ketibaan beliau disambut oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud dan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad dan Pengarah NADMA, Datuk Khairul Shahril Idrus.
Dalam tinjauan di Pasir Mas, Anwar melawat Jambatan Lubok Jong untuk meninjau paras sungai di kawasan itu yang sebelum ini melimpah namun kini semakin surut.
Difahamkan Sungai Lemal di Lubok Jong itu surut lebih 1.5 meter semalam sejak benteng Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok pecah.
Anwar tiba di jambatan itu jam 1.17 petang dan sempat melambaikan tangan kepada penduduk yang menunggu sejak pagi menanti kehadiran beliau.
Beliau meluangkan masa kira-kira 15 minit mendengar taklimat banjir dari petugas Angkatan Pertahanan Awam Kota Bharu dan Pasir Mas.
Anwar kemudiannya melawat pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Lati dan Sekolah Kebangsaaan Sri Kiambang di Kampung Repek sebelum bertolak pulang.
PPS SMKA Lati menempatkan 708 mangsa membabitkan 222 keluarga, manakala PPS SK Sri Kiambang menempatkan 629 orang membabitkan 197 keluarga.
Pusat Kawalan Bencana Negara Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) hari ini melaporkan Kelantan kekal mencatatkan jumlah mangsa banjir tertinggi iaitu 21,377 orang yang ditempatkan di 68 PPS di lima daerah, meningkat berbanding 19,423 orang pada pukul 8 malam tadi.
Baca juga: