Negeri

PM tinjau situasi banjir: KEADILAN Kelantan rakam penghargaan kepada Anwar

Majlis Pimpinan Negeri (MPN) KEADILAN Kelantan merakamkan ucapan terima kasih kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ia susulan keprihatinan perdana menteri terhadap rakyat negeri itu susulan kesudiannya ‘turun padang’ bagi melihat sendiri situasi banjir di negeri itu seperti dijadualkan hari ini.

”KEADILAN Kelantan amat berbesar hati atas kesudian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang memaklumkan beliau akan turun bagi meninjau sendiri situasi semasa banjir di negeri ini.

”Selaku anak jati Kelantan, kehadiran Perdana Menteri sedikit sebanyak dapat mengurangkan rasa duka ekoran banyak kawasan ditenggelami air dan lebih 17,000 mangsa kini berlindung di Pusat Pemindahan Sementara (PPS),” kata Setiausaha MPN Kelantan, Zinda Khalil Sastro Hassan dipetik media.

Tambahnya, kerajaan sudah memastikan keperluan asas di PPS dipenuhi, namun kehadiran Anwar akan memberi suntikan semangat kepada rakyat negeri ini untuk meneruskan kehidupan biarpun banjir sudah beberapa kali melanda negeri ini.

BACA LAGI: Pentadbiran Anwar beri Kelantan lebih peruntukan berbanding zaman Muhyiddin

Anwar diijadual mendengar taklimat daripada Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan kerajaan negeri berkenaan banjir di negeri itu.

Beliau yang juga Menteri Kewangan akan turut berada di beberapa kawasan terjejas banjir sekitar Pasir Mas selain melawat beberapa PPS yang menempatkan ribuan mangsa bagi mendapatkan gambaran semasa berkenaan kesiapsiagaan aset dan operasi menyelamat serta bentuk bantuan segera kepada mangsa banjir.

”Saya mewakili KEADILAN Kelantan mengharapkan akan ada khabar gembira daripada Perdana Menteri bagi membantu mangsa banjir selain bantuan yang disalurkan agensi kerajaan seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), pihak polis, tentera, bomba dan petugas kesihatan.

”Ini penting bagi para penduduk yang terjejas banjir mampu memulakan semula kehidupan serta dapat meringankan beban membeli peralatan rumah seperti barangan elektrik dan sebagainya,” tambah Zinda.

Related Articles

Back to top button