Projek Jalan Sadao-Bukit Kayu Hitam disegerakan – PM Anwar
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan Projek Jalan Sadao-Bukit Kayu Hitam akan disegera.
Perkara itu diputuskan susulan pertemuan santai beliau dengan Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin di Phuket untuk membincangkan hubungan hala antara dua negara pada Selasa.
“Kami berdua turut bersetuju untuk menyegerakan Projek Jalan Sadao – Bukit Kayu Hitam serta Projek Jambatan Sungai Golok-Rantau Panjang.
“Saya dan PM (Perdana Menteri) Srettha juga sepakat untuk bersama-sama membangunkan wilayah selatan Thailand dan utara Semenanjung secara lebih pesat, sekali gus menjamin limpahan ekonomi dan kemakmuran buat rakyat di kedua-dua wilayah ini,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.
BACA LAGI: Kerjasama Malaysia-Thailand tepat pada masa, kata penganalisis
Mengulas lanjut Anwar berkata satu jawatankuasa khas peringkat tertinggi membabitkan Malaysia – Thailand diberi tanggungjawab untuk memantau dan melaporkannya kepada kerajaan masing-masing berhubung perkembangan projek tersebut dari semasa ke semasa
Katanya, laporan tersebut akan bermula pada pertengahan Januari tahun depan.
“Jawatankuasa khas peringkat tertinggi antara kedua-dua negara perlu melaporkan kemajuan projek dan perkara-perkara yang telah dipersetujui pada pertengahan bulan depan,” katanya.
Sementara itu Anwar turut memaklumkan, Srettha telah menyatakan kesediaan Thailand untuk mempromosikan pelancongan di Phuket, Langkawi dan kawasan lain di utara Semenanjung Malaysia secara bersama susulan peningkatan mendadak sektor pelancongan kedua-dua negara.