Umum

Raja Permaisuri Agong zahir penghargaan kepada Jabatan Penjara hidupkan kembali Tenun Pahang Diraja

Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah malam tadi menzahirkan penghargaan kepada Jabatan Penjara Malaysia kerana menghidupkan kembali Tenun Pahang Diraja yang dianggap ‘kritikal’ pada suatu masa dahulu.

Baginda bertitah, petugas dan penghuni penjara banyak menyumbang kepada penghasilan seni tekstil itu sehingga terkenal di persada dunia ketika ini.

“Sekitar 2004 dan 2005, hanya terdapat 15 penenun di Pahang. Bagi beta sangat mustahak, beta bertitah kalau tidak dibuat sesuatu, Tenun Pahang akan mati begitu sahaja.

“Penjaralah (Jabatan Penjara Malaysia) yang banyak menolong beta hidupkan kembali Tenun Pahang Diraja,” titah baginda pada Majlis Simfoni Kasih 2023 Jabatan Penjara Malaysia di Putrajaya, malam tadi.

Tunku Azizah bertitah, pada awalnya agak sukar bagi warga Jabatan Penjara Malaysia mempelajari tenunan itu namun kini ramai sudah mahir dalam seni tradisional tersebut sehingga mampu menghasilkan rekaan dan teknik baharu.

Tunku Azizah, yang juga Penaung Diraja bagi Seni dan Kraf Jabatan Penjara Malaysia, bertitah keindahan tenunan warga penjara turut menarik perhatian pelbagai individu termasuk ketika ia dipamerkan sempena Minggu Kraf London pada Mei lepas sehingga terdapat permintaan daripada Jabatan Penjara Singapura, Filipina dan Jepun untuk berkongsi ilmu seni tekstil Malaysia.

“Untungnya adalah banduan tersebut dapat mempelajari sesuatu… apabila keluar, memberi mereka harapan apa mereka pelajari di penjara boleh menjadi punca rezeki, menjana pendapatan… Beta minta jangan pandang rendah orang dalam penjara,” titah baginda.

Majlis Simfoni Kasih 2023 yang bertemakan ‘Menggapai Dunia Bersama Raja Permaisuri Agong’ itu dihadiri lebih 800 tetamu dan diadakan dengan kerjasama strategik Jabatan Penjara Malaysia, Yayasan Koreksional Malaysia, Yayasan Prihatin Nasional, Persatuan Isteri, Anak dan Anggota Serta Kakitangan Wanita Penjara Malaysia (PERSIAP).

Tunku Azizah turut ditemani paduka anakanda Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah ‘Athiyatullah.

Turut hadir Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri, Datuk Rubi Uji, Komisioner Jeneral Penjara, Datuk Nordin Muhamad dan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Selain berkonsepkan majlis makan amal, ia diadakan sebagai tanda menjunjung kasih terhadap Seri Paduka yang banyak memberi peluang dan ruang kepada petugas serta penghuni penjara untuk berkarya dalam seni tekstil antaranya Tenun Pahang Diraja, songket, batik dan kraf.

Tunku Azizah turut berkenan mengurniakan dua anugerah iaitu Ikon Anugerah Dedikasi (petugas penjara) kepada Sarjan Mejar Raja Mohamad Raja Adam dan Ikon Anugerah Kasih (penghuni penjara) kepada Mohd Rosli Zulkifli, yang diwakili Pengarah Penjara Pahang Datuk Abu Hassan Hussain. – Bernama

Baca lagi:

Related Articles

Back to top button