Semasa

Danial Al-Rashid perkenal geran pendidikan tahunan untuk rakyat kawasan diwakilinya

Wakil rakyat Batu Tiga bercadang memperkenal geran pendidikan tahunan kepada semua institusi pendidikan di kawasan diwakilinya.

Danial Al-Rashid Haron berkata beliau mensasarkan untuk memperkenalkan geran pendidikan itu bermula tahun hadapan bagi menumpu kepada pembangunan pendidikan selain menjalin hubungan baik dengan sekolah.

“Di Dewan Undangan Negeri (DUN) ini kita ada 15 sekolah sahaja dan saya bercadang untuk sediakan 15 geran tahunan supaya mereka dapat adakan pelbagai program menarik.

“Saya juga berharap kertas kerja dapat dibentangkan sendiri oleh pelajar supaya mereka diberi pendedahan awal selain ini juga cara merapatkan hubungan antara belia dengan pihak kami,” katanya dipetik Selangorkini.

BACA LAGI: Selangor bakal lantik 228 PeBS untuk gerak program belia

Beliau turut menyatakan harapan agar kertas kerja yang akan dibentang menerusi permohonan geran tersebut dilaksanakan sendiri oleh pelajar terlibat.

Menyentuh mengenai peluang pekerjaan kepada rakyat dikawasan diwakilinya itu Danial berkata, pelaksanaan projek pembangunan Hab Logistik Antarabangsa Shah Alam (SAILH) di Seksyen 16 juga dijangka memberi peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.

“Setakat ini kita sudah bertemu dengan semua agensi pelaksana dan kita akan pastikan setiap projek yang sedang dan akan dibuat dapat disempurnakan dengan baik,” katanya.

Projek pembangunan SAILH di atas tapak seluas 28.73 hektar dengan nilai pelaburan RM2 bilion diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari pada Julai lalu.

Ia dijangka mewujudkan 5,000 peluang pekerjaan baharu menjelang 2028, dengan fasa pertamanya dijangka siap pada 2025.

Dalam perkembangan berkaitan, Danial turut berikrar untuk terus memantau setiap perkembangan projek yang sedang dan akan dilaksanakan di DUN berkenaan khususnya projek tebatan banjir.

Related Articles

Back to top button