DBKL keluar 35 kompaun, 3 premis makanan kotor diarah tutup
35 kompaun dikeluarkan dan tiga premis makanan di ibu negara diarahkan tutup selepas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mendapati tahap kebersihan tidak memuaskan ketika Operasi Sepadu Bersih, semalam.
Dalam kenyataannya hari ini, DBKL memaklumkan sebanyak 30 premis diperiksa dan mendapati ada premis yang kotor serta berbau busuk dengan pengendalian pembuangan sisa tidak teratur, malah terdapat najis tikus di dapur.
Menurut DBKL, hasil pemeriksaan turut mendapati ada pekerja di premis terbabit tidak mengambil suntikan tifoid.
“Pemeriksaan terhadap 30 premis, hasilnya tiga premis dikenakan tindakan arahan penutupan, satu mengikut Seksyen 11 Akta Makanan 1983 dan dua premis mengikut UUK 28(1) Undang-undang Kecil Pelesenan Petempatan Makanan (WPKL) 2016.
“Tiga puluh lima kompaun dikeluarkan atas pelbagai kesalahan mengikut Undang-Undang Kecil Pelesenan Petempatan Makanan (WPKL) 2016 dan Undang-undang Kecil Pengendali Makanan 1979,” katanya.
Operasi itu dilaksanakan membabitkan 23 anggota dari Jabatan Kesihatan dan Alam Sekitar DBKL di Jalan Hujan Rahmat, Jalan Radin Bagus, Jalan Radin Tengah, GLo Damansara, Jalan Lang Kuning, Viva Mall Damansara,Jalan Development dan Jalan Metro Perdana.
Baca lagi: