Semasa

Dr Zaliha tunai janji, penduduk Kampung Setia Jaya boleh tinggal hingga isu penempatan selesai

Kira-kira 500 penduduk Kampung Setia Jaya, Setapak di ibu kota yang sebelum ini bimbang terpaksa berpindah dalam tempoh 18 bulan untuk memberi laluan kepada pembangunan baharu boleh menarik nafas lega.

Ia selepas mereka dibenarkan untuk tinggal di kawasan itu sementara isu penempatan dapat diselesaikan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata, keputusan itu dicapai pada perbincangan diadakannya di Putrajaya pada Khamis bersama wakil Yayasan Pendidikan Tunku Abdul Rahman (TAR) Tan Sri Lim Keng Cheng dan Datuk Seri Yew Teong Look sebagai pemilik tanah.

BACA LAGi: Dr Zaliha atur pertemuan dengan TARC Education Foundation

Difahamkan, wakil Jawatankuasa Penduduk Kampung Setia Jaya, Ahli Parlimen Wangsa Maju, Zahir Hassan dan Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri turut menyertai pertemuan berkenaan. turut berada dalam sesi rundingan itu.

“Perbincangan turut memberi fokus kepada isu penggantian rumah kepada penduduk dengan penyelesaian terbaik yang akan diperincikan dengan lebih lanjut,” katanya dalam kenyataan.

Mahkamah Tinggi pada 19 Dis lalu memutuskan penduduk Kampung Setia Jaya perlu mengosongkan tanah itu dalam tempoh 18 bulan, susulan keputusannya memberi pemilikan tanah kepada Yayasan Pendidikan TAR.

Dr Zaliha sebelum ini berjanji untuk mengadakan perbincangan mengenai isu dikemuka penduduk dengan yayasan terbabit.

Melalui kenyataan sama, Dr Zaliha menyatakan keyakinan isu membabitkan Kampung Setia Jaya dapat diselesaikan dengan baik setelah tertangguh lebih 30 tahun.

Dalam perkembangan berkaitan, Ahli Parlimen Wangsa Maju Zahir Hassan memaklumkan Kerajaan Perpaduan dan menteri sendiri tekad untuk menyelesaikan isu dihadapi penduduk.

Dipetik laporan media Zahir berkata, ketetapan kedua ialah pihak pemilik tanah secara jelas dan terang bersedia untuk memperuntukkan sebahagian daripada tanah untuk pembangunan rumah kepada penduduk asal yang sah di Kampung Setia Jaya.

“Bagaimana kita bergerak selanjutnya nanti akan diperincikan kelak, usahanya adalah memastikan kebajikan penduduk yang sudah terokai kampung ini dari awal.

“Insya-Allah kerajaan bertekad dan Menteri juga bertekad untuk membantu mereka yang sah dan peneroka asal untuk diberi kebajikan yang sewajarnya” katanya dalam sidang media perkembangan terkini isu itu di Surau Madinah, Kampung Setia Jaya semalam.

Related Articles

Back to top button