Umum

Menteri Komunikasi ucap takziah kepada keluarga wartawan hiburan, Siti Nor Hafiza

Menteri Komunikasi, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga wartawan hiburan Siti Nor Hafiza Kamarudin yang meninggal dunia di London, semalam.

“Innalillahi wa inna ilaihi raji’un. Baru petang tadi saya maklumkan tentang saudari Fiza Kamaruddin, wartawan, yang kritikal di hospital London.

“Malam ini saya menerima khabar duka. Beliau telah meninggal dunia. Saya ucapkan takziah buat keluarga Allahyarhamah Fiza Kamaruddin. Semoga keluarga Allahyarhamah tabah dengan ujian yang berat ini. Al-Fatihah,” katanya dalam hantaran di akaun Facebook, malam tadi.

Terdahulu, Siti Nor Hafiza, 40 dirawat di Hospital Charing Cross, London selepas dilaporkan tidak sedarkan diri ketika berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Heathrow semalam untuk pulang ke Malaysia selepas bercuti.

Suaminya, Mohd Roshdi Ramli memaklumkan bahawa isterinya menghembuskan nafas terakhir pada pukul 3 petang waktu tempatan (11 malam waktu Malaysia).

Wartawan portal Boom Malaysia dan Jurnal Malaysia milik KRU Media itu terpilih menerima tajaan pakej melancong bersama keluarga ke London dan berlepas bersama suaminya Mohd Roshdi dan dua cahaya mata mereka pada pertengahan bulan ini.

Sebelum ini, suaminya dilapor memberitahu isterinya menghidap penyakit kanser payudara yang menyerang semula selepas enam tahun bebas daripada penyakit itu.

“Dia (Siti Nor Hafiza) memang ada sejarah kanser payudara, selepas enam tahun (penyakit itu) datang semula dan menyerang hati dia.

“Selain itu, kanser berkenaan juga telah merebak ke bahagian kepala dan seluruh badan,” katanya.

Baca lagi:

Related Articles

Back to top button