Semasa

PADU hasil kerja keras penjawat awam, tidak babitkan kontraktor luar seperti ditohmahkan

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menafikan tohmahan dilempar pihak tidak bertanggungjawab yang mendakwa kononnya pembangunan sistem Pangkalan Data Utama (PADU) adalah satu pembaziran.

Melalui satu kenyataan Ahli Parlimen Pandan itu berkata, tuduhan itu sememangnya telah dijangka dan menunggu ia ditimbulkan bagi menjawab tohmahan tersebut.

“PADU dibangunkan sepenuhnya oleh penjawat awam daripada tiga agensi utama iaitu Kementerian Ekonomi, Jabatan Perangkaan (DOSM) dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) yang melibatkan kerjasama semua agensi lain.

“Bagi saya, padunya PADU ini kerana ia melibatkan keseluruhan kepakaran dan tenaga penjawat awam, bukan “consultant” dan kontraktor luar,” katanya .

Media melaporkan, ada suara sumbang mendakwa PADU adalah pembaziran kerana ia dibangunkan dengan kos ratusan juta ringgit.

BACA LAGI: Kerajaan tambah bayaran STR jika golongan rentan terkesan ekoran subsidi bersasar

Bagaimanapun Rafizi menjelaskan, pembangunan PADU dibangunkan oleh penjawat awam menggunakan peruntukan sedia ada dan segala infrastruktur yang telah ada tanpa perlu membuka tender baru kepada pihak swasta atau melibatkan pembayaran setiap tahun kepada penyedia sistem pihak swasta.

“Ia tidak melibatkan perbelanjaan tambahan seperti yang selalu berlaku setiap kali ada sistem baru diperkenalkan oleh kerajaan.

“PADU berjaya disediakan dalam tempoh yang singkat hasil penat lelah penjawat awam yang bersengkang mata selama tujuh bulan. Dari awal, saya telah lontarkan cabaran ini kepada pasukan teras bahawa PADU ialah satu peluang untuk membuktikan kepakaran yang ada dalam kalangan penjawat awam.

“Memang pasukan teras yang mengusahakan PADU akan terus berdepan dengan cabaran, tetapi jika ada pujian mengenai PADU, pujian itu layaknya kepada penjawat awam,” katanya.

PADU akan dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 Januari 2024 sebelum dibuka selama tiga bulan untuk memberi peluang kepada rakyat mengesahkan dan mengemaskini data sosio-ekonomi mereka.

Ia merupakan pangkalan data maklumat di peringkat isi rumah yang meliputi bilangan isi rumah, rekod pendapatan, tanggungan anak isi rumah mengikut peringkat pendidikan, lokasi isi rumah dan bilangan kenderaan isi rumah.

Pangkalan data itu juga merangkumi rekod bantuan yang telah diterima dari jabatan kerajaan di dalam isi rumah dan maklumat-maklumat lain yang boleh membantu menentukan pendapatan boleh belanja setiap isi rumah sekaligus membantu kerajaan dalam mengagihkan subsidi dan bantuan dengan lebih berkesan selain menjadi penyelaras data antara agensi-agensi sedia ada.

Related Articles

Back to top button