Mahkamah

Pemilik Facebook diarah failkan pembelaan terhadap saman Fahmi Fadzil

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Khamis memerintahkan pemilik akaun Facebook N13 Kuang untuk memfailkan pembelaan terhadap saman dikemukakan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil sebelum atau pada 15 Januari depan.

Peguam, Asheeq Ali Sethi Alivi yang mewakili Ahli Parlimen Lembah Pantai itu ketika dihubungi media memberitahu mahkamah turut mengarahkan Fahmi selaku plaintif memfailkan jawapan kepada pembelaan tersebut sebelum atau pada 29 Januari 2024.

“Mahkamah menetapkan 7 Februari depan untuk pengurusan kes lanjutan bagi pihak-pihak memaklumkan mahkamah berhubung status pemfailan dokumen dan permohonan interlokutori, sekiranya ada,” jelasnya menurut laporan media.

BACA LAGI: Ahmad Dasuki diperintah fail pembelaan

Pada 5 September lalu, Fahmi memfailkan tiga saman fitnah terhadap pemilik akaun Facebook ‘N13 Kuang’, Mohd. Fauzan Madzlan; penulis blog, Wan Muhammad Azri Wan Deris atau Papagomo dan penceramah bebas, Ahmad Dusuki Abd. Rani.

Ia berhubung dakwaan kononnya beliau memberikan ceramah politik di sebuah masjid di Rawang, Selangor.

Dalam pernyataan tuntutannya, Fahmi mendakwa ketiga-tiga defendan menyiarkan kata-kata fitnah yang mendakwa plaintif menyalahgunakan tempat beribadah iaitu masjid bagi tujuan kempen pilihan raya dan bertindak bertentangan dengan titah dan perintah Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor.

Fitnah itu yang dibuat bertujuan memburukkan nama baiknya demi mendapatkan publisiti murahan atau mewujudkan sensasi dalam arena politik negara disiarkan dalam di akaun Facebook milik Mohd. Fauzan, akaun TikTok dan Facebook Wan Muhammad Azri pada 1 Ogos, serta akaun Facebook dan Instagram milik Ahmad Dusuki pada 31 Julai lalu.

Melalui tuntutannya juga Fahmi menegaskan tuduhan dibuat ketiga-tiga pihak itu tidak berasas dan pihak Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) sudah mengesahkan bahawa beliau sama sekali tidak memberikan ucapan berbaur politik seperti mana yang difitnah oleh defendan.

Sebelum ini jelasnya, pihaknya sudah menghantar surat tuntutan bagi ketiga-tiga individu itu menarik balik kenyataan fitnah berkenaan, membayar ganti rugi dan menyiarkan permohonan maaf kepada plaintif, namun mereka gagal berbuat demikian.

Oleh itu, plaintif menuntut antaranya ganti rugi am, ganti rugi teruk atau teladan, dan perintah injunksi bagi menghalang semua defendan daripada mengulangi atau menyebabkan penerbitan semula kenyataan fitnah tersebut.

Related Articles

Back to top button