Negeri

Peruntukan hampir RM1 bilion untuk Kelantan, PM Anwar serius atasi masalah banjir

Lima projek baharu bernilai RM910.5 juta bagi mengatasi masalah banjir yang saban tahun melanda Kelantan diumumkan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keutamaan itu diberikan berikutan rakyat di negeri itu terpaksa menanggung kesan yang besar akibat bencana alam itu berbanding negeri lain.

Jelas beliau, kesemua projek berkenaan akan dimulakan pada awal tahun hadapan.

“Pada masa sama, kerajaan konsisten untuk meneruskan 18 projek yang sedang dalam pelaksanaan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) bermula sekarang sehingga tahun hadapan melibatkan peruntukan sebanyak RM2.42 bilion.

“Untuk makluman, sebahagian daripada projek itu akan disiapkan lebih awal dan terdapat dua lagi projek baharu yang dilaksanakan mulai bulan depan iaitu Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Golok Fasa 3 dan PLSB Sungai Kelantan Fasa 2,” katanya Anwar ketika ditemui media.

Anwar sebelumnya hadir ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SMK) Agama Lati, di Pasir Mas pada Khamis.

BACA LAGI:Kerajaan Perpaduan lulus RM50 juta, bantu rakyat Kelantan terjejas banjir

Sementara itu beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, unjuran projek-projek dilaksanakan perlu melihat kepada keupayaan kerajaan kerana ia melibatkan perbelanjaan besar termasuk kelulusan RM800 juta untuk PLSB Rantau Panjang Fasa 2.

Namun tegasnya, projek tebatan banjir tetap diberikan keutamaan kerana ia melibatkan keperluan yang menekan dan perlu disegerakan.

“Kadang-kadang pelaksanaan projek-projek ini perlu dibuat mengikut fasa tetapi mengikut pendekatan kerajaan pada hari ini hal-hal melibatkan kemiskinan tegar, tandas sekolah, perumahan tentera, polis serta pegawai kerajaan dan tebatan banjir kita beri keutamaan.

“Kalau ini menyebabkan kita terpaksa menangguhkan projek-projek lain, maka kita tangguh kerana isu ini (tebatan banjir) merupakan isu yang menekan hidup rakyat,” ujarnya.

Related Articles

Back to top button