Semasa

Selepas 30 tahun, isu Kampung Setia Jaya kearah penyelesaian positif – Fahmi Fadzil

Isu penempatan penduduk Kampung Setia Jaya di sini yang telah tertangguh selama 30 tahun kini ke arah penyelesaian positif.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata begitu sebagai mengulas pertemuan melibatkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa dengan wakil pemilik tanah iaitu Yayasan Pendidikan Tunku Abdul Rahman (TAR) bagi membincangkan kemelut dihadapi penduduk terbabit.

“Alhamdulillah, kini ke arah penyelesaian positif.

“Insya-Allah, kerajaan yakin isu ini akan dapat diselesaikan setelah lebih 30 tahun tertangguh,” kata jurucakap Kerajaan Perpaduan itu menerusi Facebooknya.

Menerusi perbincangan diadakan semalam, yayasan terbabit telah memberi jaminan untuk membenarkan penduduk tinggal di Kampung Setia Jaya sehingga isu penempatan diselesaikan.

Malah menurut Fahmi, isu penggantian rumah kepada penduduk turut dibangkitkan dan akan diperincikan dengan lebih lanjut.

Terdahulu penduduk menyatakan kebimbangan susulan keputusan Mahkamah Tinggi pada 19 Disember lalu yang memerintahkan semua penduduk untuk mengosongkan tanah itu dalam tempoh 18 bulan dan menggesa kerajaan campur tangan supaya isu dibangkitkan dapat diselesai secara baik.

BACA LAGI: penduduk Kampung Setia Jaya minta campur tangan PM Anwar

Dr Zaliha sendiri awal minggu lalu berjanji akan membincangkan perkara itu bersama pemilik tanah.

Sementara itu Pengerusi Persatuan Penduduk Kampung Setia Jaya, Mohd Asri Sapuan mengucapkan syukur atas keputusan berkenaan.

“Saya mewakili penduduk merasa lega berkaitan dengan keputusan melanjutkan lagi tempoh pengosongan kediaman sehingga penempatan diselesaikan” katanya dipetik laporan media.

Isu berkenaan turut mendapat perhatian Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) Nga Kor Ming.

“Secara spesifik saya tiada maklumat. Saya akan dapatkan maklumat dahulu dan kerajaan akan cuba untuk menghulurkan bantuan, tengok bagaimana kita nak bantu,” menurutnya.

Related Articles

Back to top button