Politik

Cubaan ‘Langkah Dubai’ untuk guling pentadbiran PM Anwar giat berlangsung, dakwa J-KOM

‘Langkah Dubai’ yang didakwa didalangi pemimpin parti pembangkang termasuk wakil tertentu kerajaan, dengan matlamat sama iaitu menjatuhkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ketika mendedahkan cubaan itu, Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Ismail Yusop mendakwa Langkah Dubai timbul sewaktu percutian pemimpin Perikatan Nasional (PN) termasuk dari pihak kerajaan di ibu kota Emiriah Arab Bersatu (UAE), baru-baru ini.

Beliau mendakwa, pertemuan itu berlangsung untuk berunding selain menetapkan tugas tertentu kepada ‘pegawai’ yang dipertanggungjawab untuk mengenal pasti Ahli Parlimen yang berpotensi beralih sokongan kepada pembangkang dengan sogokan, semata-mata mahu menubuhkan kerajaan ‘tebuk atap’.

Selain pemimpin PN, beliau mendakwa ada juga pembabitan tokoh politik veteran berpengaruh berpangkat Tun yang bersekongkol dengan pembangkang termasuk dikatakan menggunakan ‘sumber asing’ untuk menggulingkan pentadbiran diterajui Anwar.

“Menjelang kehadiran 2024, sejak seminggu dua ini, (terdapat desas-desus tentang usaha tebuk atap untuk mengambil alih Kerajaan Madani bergema kembali.

“Menjadi rahsia umum sehari dua ini cerita mengenai percutian di Dubai oleh tokoh-tokoh dari PN. Diikuti dengan kehadiran beberapa pimpinan lain yang dikaitkan dengan kumpulan-kumpulan yang tidak senang dengan cara kepimpinan PMX (Perdana Menteri Ke-10) dan Kerajaan MADANI.

“Maka dikhabarkan ada rumusan ‘Langkah Dubai’ disusun dengan ‘assignment’ (tugasan) diberikan kepada PIC (orang yang bertanggungjawab) yang ditugaskan untuk bertemu, berunding dan (mengemukakan) tawaran kepada mereka yang dikenal pasti boleh beralih sokongan kepada mereka (pembangkang).

“Dikatakan ada jurucakap yang ada akses dengan kepimpinan disebelah pembangkang sedang berkeliaran di seluruh negara, termasuk di Sabah dan Sarawak untuk cuba meyakinkan bahawa awal 2024, Kerajaan MADANI akan tumbang siap dengan tarikh dan ‘dateline’ sekali,” katanya memetik laporan Berita Harian.

Beliau mendakwa, ada bekas Perdana Menteri dan bekas Menteri Kewangan serta sekutu mereka turut terbabit dalam perancangan itu dengan menggunakan segala sumber dalam dan luar negara.

Ismail berkata, beliau memperoleh maklumat mengenai gerakan terbaharu untuk menjatuhkan kerajaan dari pelbagai sumber, bukan satu pihak sahaja.

Mengulas lanjut, beliau mengakui memiliki butiran pemimpin PN mahupun di pihak kerajaan yang terbabit dengan ‘Langkah Dubai’ tetapi memilih untuk tidak mendedahkan perincian terbabit, dengan alasan ia bukan tanggungjawabnya.

“Saya fikir sebagai seorang yang mendokong PMX dan Kerajaan MADANI, saya bertanggungjawab memberi satu sudut pandangan. Saya harap boleh memberikan bukan saja pencerahan tetapi membantu siapa juga yang membaca hantaran itu.

“Biarlah saya percaya pihak keselamatan, pihak lebih tinggi lebih maklumat dan mengetahui (siapa terbabit dengan Langkah Dubai). Saya tidak fikir saya nak ambil tanggungjawab untuk mendedahkan nama sesiapa tetapi siapa makan cili dia rasa pedas.

“Apa pun, saya tidak mahu dedahkan tetapi kedudukan saya dengan jawatan yang saya pegang (dalam J-KOM), saya (boleh) akses banyak maklumat (antaranya) dalam konteks yang saya anggap kalau sampai peringkat mengancam keselamatan negara, gangguan soal kestabilan dan keharmonian masyarakat, saya fikir tidak adil kalau saya berdiam diri,” katanya.

Terdahulu, tular di beberapa aplikasi media sosial mengenai pertemuan tertutup beberapa ahli Parlimen PN termasuk dua daripada Barisan Nasional (BN) di Dubai.

Gerakan itu didakwa diatur beberapa pemimpin Pas dan Bersatu untuk mendapatkan sokongan sebahagian Ahli Parlimen BN dan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB).

Related Articles

Back to top button