Semasa

DAP akui ahlinya terkhilaf mengenai cadangan berkaitan j/kuasa khas undang-undang syariah

DAP mengakui seorang ahli parlimen dari parti itu telah terkhilaf apabila membuat cadangan agar pakar bukan Islam dilantik dalam Jawatankuasa Mengkaji Bidang Kuasa Mahkamah Syariah.

Setiausaha agungnya Anthony Loke berkata, cadangan Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham itu terkeliru dengan punca kuasa jawatankuasa tersebut.

“Perlu ditegaskan bahawa penubuhan jawatankuasa khas ini bukan ditentukan oleh jemaah menteri tetapi oleh Majlis Kebangsaan Hal-ehwal Agama Islam (MKI) dan mereka melapor secara langsung kepada MKI.

“Sebarang cadangan oleh jawatankuasa tersebut yang melibatkan sebarang pindaan undang-undang perlu dibawa ke jemaah menteri untuk proses penggubalan rang undang-undang seperti biasa,” katanya dalam kenyataan.

Ngeh baru-baru ini dilapor media sebagai mencadangkan supaya kerajaan disaran melantik pakar daripada masyarakat bukan Islam untuk membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam yang ditubuhkan pada awal bulan ini.

Ngeh dipetik berkata, langkah itu bagi mengambil kira pandangan orang bukan Islam sebelum sebarang perubahan pada undang-undang dibuat.

Ia kemudian membangkitkan kurang sedang termasuk di kalangan pemimpin parti dalam kerajaan.

BACA LAGI: Pakar sambut baik penubuhan Jawatankuasa Khas Syariah

Sementara itu Loke menegaskan DAP menghormati kebijaksanaan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah selaku pengerusi Majlis Kebangsaan Hal-ehwal Agama Islam (MKI) dalam membuat keputusan,

Beliau turut menggesa masyarakat bukan Islam agar tidak bimbang dengan sebarang pindaan undang-undang yang membabitkan mereka kerana ia akan dibawa ke jemaah menteri.

“Masyarakat bukan Islam juga tidak perlu bimbang dalam perkara ini kerana sekiranya sebarang pindaan undang-undang yang melibatkan hak bukan Islam, ia perlu diperhalusi dan diputuskan oleh jemaah menteri dan seterusnya proses seperti biasa perlu dilaksanakan di Parlimen.

“DAP komited terhadap prinsip hormat-menghormati antara satu sama lain dan keharmonian antara agama dan kaum merupakan tanggungjawab kita bersama,” tegasnya.

Related Articles

Back to top button