Nasional

Kes disiasat ikut akta anti rasuah, tidak pernah tuduh Daim salah laku – SPRM

Siasatan dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap Tun Daim Zainuddin berhubung dakwaan rasuah dan pengubahan wang haram adalah berlandaskan undang-undang serta akta sedia ada.

Menurut SPRM, kertas siasatan dibuka pada Februari 2023 berdasarkan maklumat daripada Kertas Pandora.

“Pada 7 Jun 2023, satu Notis di bawah Seksyen 36(1)(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (Akta 694) telah diserahkan kepada Tun Daim yang mengkehendaki beliau supaya mengisytiharkan segala aset miliknya sama ada di dalam dan luar negara secara bertulis dan akuan bersumpah dalam tempoh 30 hari daripada tarikh notis tersebut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelas SPRM, Daim telah memohon lanjutan tempoh sebanyak lima kali dan telah diberikan lanjutan pada 6 Julai 2023, 10 Ogos 202, 11 September 2023, 11 Oktober 2023 dan yang terakhir pada 14 November 2023 untuk mengisytiharkan segala aset miliknya.

“Sebagai sebahagian daripada proses siasatan SPRM, Pendakwa Raya telah mengeluarkan Notis Penyitaan Menara Ilham pada 18 Disember 2023, di bawah Seksyen 38 (1), Akta SPRM 2009 (Penyitaan Harta Tak Alih),” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, Daim disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009, dan Seksyen 4 (1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA).

“Walau bagaimanapun, berdasarkan prinsip undang-undang ‘anggapan tidak bersalah’ (presumption of innocence), seseorang yang disiasat adalah dianggap tidak bersalah sehingga dibuktikan kesalahannya, dan individu terlibat mempunyai peluang untuk membersihkan namanya sekiranya kes ini dibicarakan di mahkamah.

“SPRM tidak pernah membangkitkan atau mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi yang menuduh Tun Daim telah pun melakukan sebarang kesalahan,” jelas SPRM.

Agensi itu menggesa semua pihak untuk tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kes berkenaan dan membenarkan siasatan diteruskan tanpa gangguan.

SPRM menjawab kenyataan Daim yang mendakwa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan gensi itu melakukan ‘political witch hunt’ (penganiyaan politik) dan turut menyifatkan siasatan terhadapnya sebagai berniat jahat.

Terdahulu, SPRM menyita Menara Ilham di Jalan Binjai Kuala Lumpur yang dilaporkan dimiliki Daim dan keluarganya.

Bangunan 60 tingkat itu disita mengikut Akta SPRM 2009, berhubung siasatan SPRM terhadap bekas Menteri Kewangan itu.

Related Articles

Back to top button