Negeri

Murid dan pelajar terjejas banjir dibenar berpakaian biasa ke sekolah – JPNT

Jabatan Pendidikan Negeri Terengganu (JPNT) memberi kelonggaran kepada murid dan pelajar Terengganu yang terjejas banjir gelombang ketiga untuk berpakaian biasa sewaktu sesi persekolahan dibuka semula pada Selasa depan.

Timbalan Pengarah Pendidikan (Sektor Pengurusan Sekolah) Terengganu, Azman Othman @ Abdullah berkata, JPNT bersimpati dengan kemusnahan besar dialami mangsa terjejas ekoran musibah banjir berkenaan.

“Kami sedia maklum sebahagian murid dan pelajar tidak mempunyai lagi pakaian seragam untuk ke sekolah akibat rosak sewaktu banjir.

“Mereka boleh hadir ke sekolah dengan berpakaian biasa asalkan sopan dan sesuai pada Selasa nanti (sewaktu sesi persekolahan dibuka),” katanya memetik laporan Kosmo, hari ini.

Menurut Azman, pihaknya memahami kesukaran yang dihadapi mangsa banjir dan akan berusaha untuk meringankan beban mereka.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, kerja-kerja pembersihan sekolah-sekolah yang dinaiki air dan dijadikan PPS sedang giat dijalankan.

Katanya, setakat ini, lima sekolah masih dijadikan PPS iaitu empat di Dungun dan sebuah di Marang.

Banjir gelombang ketiga yang melanda Terengganu bermula 23 Disember lalu telah menjejaskan lebih 11,000 penduduk di kesemua lapan daerah di negeri ini.

Setakat ini, lebih 700 mangsa masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS) di tiga daerah iaitu Dungun, Kuala Nerus dan Marang.

Related Articles

Back to top button