Semasa

Orang ramai digalak kemas kini data PADU, elak tercicir nikmati subsidi tersasar

Walaupun tiada tindakan akan dikenakan kepada rakyat yang memilih untuk tidak mengemas kini data menerusi Pangkalan Data Utama (PADU), namun orang ramai disaran melakukannya.

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata, jika kemas kini tidak dibuat, rakyat mungkin tercicir menikmati program subsidi bersasar yang bakal dilaksanakan kerajaan tidak lama lagi.

“Jika tak update (kemas kini) tiada masalah. Tapi kalau anda tak dapat (subsidi) jangan marahlah. Tak nak update (kemas kini) boleh tetapi kerajaan akan menggunakan maklumat sedia ada dalam semua pangkalan data milik kerajaan.

“Kami akan menggunakan data sedia ada itu bagi menentukan profil isi rumah dan kelayakan dapat atau tidak subsidi bersasar itu,” katanya dalam sidang akhbar di Kuala Lumpur.

BACA LAGI: Kerajaan tambah bayaran STR jika golongan rentan terkesan pelaksanaan subsidi bersasar

Tambah Rafizi, PADU akan menyediakan profil isi rumah paling tepat bagi penyasaran semua subsidi yang disediakan kerajaan kelak.

Risiko keciciran boleh berlaku memandangkan kerajaan hanya akan menggunakan data sedia ada bagi menentukan kelayakan bagi setiap program bantuan oleh kerajaan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 2 Januari ini dijadual akan melancarkan PADU iaitu pangkalan data komprehensif yang mengandungi data mikro yang diintegrasikan daripada pelbagai sumber agensi kerajaan.

Orang awam diberi peluang mengemas kini data menerusi dalam sistem tersebut pada 2 Januari ini hingga 31 Mac depan.

Related Articles

Back to top button