ekonomiSemasa

Perkembangan ekonomi positif sepanjang tiga suku pertama 2023 – DOSM

Ekonomi Malaysia telah mengekalkan pertumbuhan positif sepanjang tiga suku pertama 2023 kata Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ketua Perangkawan Datuk Seri Mohd Uzir dalam satu kenyataan berkata, ekomomi menunjukkan tanda pada Oktober, diterajui oleh pengeluaran perindustrian dan jualan runcit.

Tambahnya, prestasi konsisten ini telah menyumbang kepada pertumbuhan 3.9 peratus dalam ekonomi bagi tempoh sembilan bulan pertama 2023, berbeza dengan pertumbuhan 9.2 peratus dalam tempoh sama pada 2022.

“Indeks Pengeluaran Perindustrian (IPP) Malaysia memulih kepada pertumbuhan 2.7 peratus tahun ke tahun pada Oktober 2023, peningkatan ketara berbanding penurunan 0.5 peratus pada bulan sebelumnya.

“Ini merupakan peningkatan signifikan sejak Mei 2023, terutamanya didorong oleh prestasi kukuh sektor perlombongan.

“Pada masa yang sama, sektor elektrik dan pembuatan mengekalkan trend positif apabila masing-masing merekodkan peningkatan 5.8 peratus dan 0.9 peratus,” katanya.

Perkara itu dinyatakan Mohd Uzir dalam kenyataan bagi Sorotan Statistik Ekonomi Malaysia (MESR) Siri 12/2023.

Dari segi inflasi, Mohd Uzir berkata Malaysia mengalami kenaikan inflasi sebanyak 1.8 peratus pada Oktober 2023, menandakan kadar terendah sejak April 2021 dengan indeks mencapai 130.9 berbanding 128.6 pada bulan sama tahun sebelumnya.

BACA LAGI: Kerajaan Perpaduan tumpu usaha tingkat ekonomi negara pada 2024 – PM Anwar

“Pada November 2023, inflasi Malaysia terus meningkat secara sederhana, mencatatkan pertumbuhan yang lebih perlahan 1.5 peratus, dengan meraih mata indeks 130.9 berbanding 129.0 pada bulan sama tahun sebelumnya.

Melalui kenyataan sama, DOSM turut memaklumkan penurunan nilai jualan membabitkan sektor pembuatan sebanyak 1.4 peratus pada Oktober tahun ini, dipengaruhi oleh kejatuhan berterusan dalam subsektor petroleum, kimia, getah dan plastik yang mengalami penyusutan 9.5 peratus.

Bagi sektor perdagangan borong dan runcit, nilai jualan bulanan pada Oktober 2023 mencecah RM142.3 bilion, peningkatan 6.5 peratus tahun ke tahun, didorong terutamanya oleh subsektor perdagangan borong yang berkembang 5.7 peratus atau RM3.4 bilion kepada RM63.3 bilion.

Sementara itu, subsektor kenderaan bermotor mencatatkan kadar pertumbuhan 19.1 peratus (+RM3.0 bilion) dan subsektor perdagangan runcit tumbuh 3.9 peratus (+RM2.3 bilion), katanya.

Dari segi perdagangan, Mohd Uzir berkata jumlah perdagangan Malaysia susut 2.4 peratus tahun ke tahun kepada RM239.5 bilion pada Oktober 2023.

Eksport menunjukkan penurunan 4.4 peratus yang mencecah RM126.2 bilion, manakala import mengalami penyusutan marginal 0.2 peratus kepada RM113.3 bilion.

Oleh itu, lebihan dagangan kekal pada RM12.9 bilion, penurunan 30.3 peratus daripada tahun sebelumnya, kata Mohd Uzir.

Related Articles

Back to top button