Anwar

PM Anwar dukung penuh peringatan Sultan Selangor terkait hal ehwal agama Islam

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendukung penuh titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah supaya orang politik khususnya yang bukan beragama Islam untuk tidak mencampuri urusan hal ehwal agama Islam.

Anwar berkata, sebarang kekeliruan orang bukan Islam terhadap hal ehwal agama Islam di negara ini perlu dileraikan dalam suasana yang harmoni dan beradab.

“Namun, sekiranya terdapat sebarang kemusykilan dan bagi mengelak sebarang kekeliruan, pihak bukan Islam boleh menulis kepada Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) untuk meleraikan sebarang kekusutan dalam suasana yang harmoni dan beradab,” katanya menerusi satu kenyataan, pada Sabtu.

Semalam, Sultan Selangor mengingatkan rakyat khususnya yang bukan beragama Islam agar menghormati dan tidak mencampuri urusan berkaitan hal ehwal agama Islam di negara ini.

Sultan Sharafuddin selaku Pengerusi Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) bertitah demikian susulan cadangan Ahli Parlimen Beruas, Datuk Ngeh Koo Ham supaya kerajaan melantik pakar daripada orang bukan Islam untuk membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) menggubal undang-undang Islam.

Baginda turut bertitah bahawa MKI yang dipengerusikannya, memegang amanah dan tanggungjawab bagi melaksanakan segala hal ehwal berkaitan umat Islam.

MKI juga dianggotai oleh pakar-pakar yang arif dalam pelbagai bidang khususnya melibatkan undang-undang dan agama Islam.

Justeru, Sultan Selangor mengharapkan agar ahli politik khususnya yang bukan beragama Islam untuk tidak terus-menerus mencampuri urusan hal ehwal agama Islam.

Malah, titah baginda penganut agama lain seharusnya mencontohi umat Islam yang tidak mencampuri hal ehwal agama lain di Malaysia.

Related Articles

Back to top button