Semasa

Sistem PADU tak diintegrasi dengan sistem maklumat bank – Rafizi

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli menegaskan Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) tidak akan diintegrasikan dengan mana-mana sistem maklumat daripada bank.

Bercakap dalam satu sidang media di Kuala Lumpur pada Jumaat, Rafizi berkata ia susulan sistem bank yang termaktub di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 tidak membenarkan sebarang perkongsian berkaitan sistem data itu.

“Kalau berkaitan dengan bank tak ada sebab bank ada Akta Perkhidmatan Kewangan yang tidak membenarkan sebarang perkongsian sedemikian,” katanya.

Beliau turut memberi contoh integrasi data ialah maklumat peribadi rakyat akan diperoleh daripada Jabatan Pendaftaran Negara, maklumat pendidikan daripada Kementerian Pendidikan dan Kementerian Pendidikan Tinggi manakala maklumat alamat boleh didapati daripada syarikat utiliti seperti Tenaga Nasional Berhad serta operator air.

PADU, pangkalan data komprehensif yang mengandungi data mikro yang diintegrasikan daripada pelbagai sumber agensi kerajaan dan dijadual dilancarkan oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 2 Jan 2024.

Ia dibangunkan sepenuhnya oleh penjawat awam daripada tiga agensi utama iaitu Kementerian Ekonomi, Jabatan Perangkaan (DOSM) serta Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) yang turut melibatkan kerjasama pelbagai agensi lain.

BACA LAGI: PADU hasil kerja keras penjawat awam, tidak babitkan kontraktor luar seperti ditohmahkan

Mengulas lanjut, Rafizi berkata sebaik sahaja sistem itu dilancarkan oleh perdana menteri, kerajaan akan memberi peluang kepada orang ramai untuk mengemas kini serta mengesahkan 39 item maklumat peribadi seperti nombor kad pengenalan, bilangan isi rumah dan alamat sehingga 31 Mac 2024 bagi tujuan penyasaran semula subsidi.

Bagi menggalakkan orang ramai mendaftar dan mengemas kini data mereka, PADU turut bekerjasama dengan sektor swasta antaranya Touch ‘n Go yang menawarkan kad Komunikasi Medan Dekat (NFC) secara percuma kepada 3,000 pendaftar terawal.

Selain itu, PADU menjalin kerjasama dengan Mydin dengan menawarkan diskaun pembelian kepada orang ramai yang berdaftar dengan sistem tersebut namun sebarang perincian akan dikemukakan oleh pasar raya itu kemudian.

“Kita galakkan seberapa banyak peruncit dan khidmat lain untuk turut serta… bagi membolehkan mereka mewujudkan tawaran mereka sendiri dan mengambil peluang terhadap fokus serta keterujaan mengenai Padu untuk beberapa bulan akan datang tanpa menggunakan duit kerajaan,” tambahnya.

Related Articles

Back to top button