Sukan

Tahun 2023 fenomena besar buat Jojo, dinobat sebagai Bintang Baharu Paling Menyerlah – ONE Championship

Bintang muda muay thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar menutup tirai musim 2023 dengan cemerlang apabila dinobat sebagai Bintang Baharu Paling Menyerlah 2023 oleh ONE Championship.

Petinju berusia 17 tahun itu dijulang dengan gelaran tersebut setelah memperagakan aksi luar biasa sepanjang pertarungan musim ini.

Perkhabaran gembira buat Johan yang terkenal dengan gelaran Jojo itu dikongsi menerusi hantaran di Facebook ONE Championship pada Jumaat.

“Tahun 2023 sangat besar buat Johan Ghazali yang berusia 17 tahun.

“Masa depan sangat cerah untuk sensasi muay thai ini,” tulis kenyataan itu.

Johan yang mula beraksi di ONE Championship sejak Februari lalu, belum pernah mengalami kekalahan dalam kesemua lima pertarungannya.

Petarung berusia 17 tahun itu berjaya mencapai kontrak enam angka di ONE Championship dengan rekod tanpa kalahnya 4-0 dalam siri acara ONE Friday Fights.

Kemenangan tersebut menyaksikan dia berjaya memahat sejarah sebagai atlet tempur termuda memperoleh kontrak AS$100,000 (RM463,300) dengan ONE Championship.

Meskipun masih muda, Johan dilihat sebagai bintang yang meningkat naik dalam sukan pertempuran tahun ini.

Malah, ada yang membandingkannya dengan Juara Dunia ONE Flyweight Muay Thai, Rodtang Jitmuangnon.

Related Articles

Back to top button