Negeri

Amirudin sertai program Panggilan Intifada, nyata solidariti kepada rakyat Palestin

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari hadir menyertai 500 orang ramai di program Panggilan Intifada Doa Untuk Palestin malam tadi.

Program sebagai tanda solidariti kepada penduduk Palestin itu berlangsung di tapak karnival Stadium Shah Alam dan turut disertai beberapa artis antaranya Ella, Hijjaz dan Kaka Azraf.

Turut hadir ke acara itu adalah Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Mohd Azmi Abdul Hamid.

Pada ucapan di program itu Amirudin berkata, ia merupakan sebahagian daripada acara ambang tahun baharu 2024 yang kemuncaknya disambut esok menerusi program Darul Ehsan Berselawat 3.0.

“Ini sebahagian kaedah kita menaikkan semangat menjelang tahun baharu sesuai dengan keadaan semasa terutama yang menimpa sahabat saudara mara kita di Palestin.

“Hari ini mereka bukan hanya berdepan krisis kesusahan dan kepayahan tetapi kematian yang mungkin datang tiba-tiba.

“Semangat dan kecekalan mereka mempertahankan kedaulatan Palestin patut dicontohi dan dijadikan pedoman serta pengajaran,” katanya.

BACA LAGI: Simbolik solidariti Malaysia, setem khas ‘Palestin Merdeka’ dilancarkan

Amirudin sementara itu turut menyatakan harapan agar penindasan Israel ke atas penduduk Gaza segera berakhir sekali gus membebaskan Palestin setelah sekian lama dijajah rejim Zionis.

Katanya, rakyat Palestin terus bertahan sehingga hari ini untuk terus mempertahan kedaulatan negara sehingga telah membuka mata seluruh dunia.

Related Articles

Back to top button