Nasional

Banjir: Terengganu pulih sepenuhnya, semua PPS ditutup

Banjir gelombang ketiga yang melanda Terengganu bermula 23 Disember lalu kini pulih sepenuhnya.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu (JPBNT) berkata, pusat pemindahan sementara (PPS) terakhir di negeri terbabit iaitu Dewan Serbaguna Taman Perumahan Wakaf Tengah di Kuala Nerus yang menempatkan enam mangsa ditutup pada jam 2 petang, hari ini.

Terdahulu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) mengeluarkan amaran banjir berlaku secara berperingkat di beberapa kawasan rendah berhampiran sungai iaitu dalam lingkungan lima kilometer (km) di Terengganu bermula 2 pagi 24 Disember hingga 2 pagi 26 Disember.

Bagaimanapun, hujan lebat pada 23 Disember memaksa PPS pertama dibuka lebih awal iaitu di Sekolah Kebangsaan Pusat di Dungun pada 9.30 malam dengan 21 mangsa mula dipindahkan ke situ.

Marang seterusnya menjadi daerah kedua dilanda banjir pada hari sama (Sabtu) apabila 12 orang daripada tiga keluarga terpaksa mencari perlindungan di PPS Dewan Sivik Wakaf Tapai yang dibuka pukul 10 malam.

Episod hujan lebat yang berterusan menyaksikan satu demi satu daerah di Terengganu mula menerima tempias musibah itu dengan Kuala Terengganu menjadi penggenap lapan daerah di negeri berkenaan dilanda banjir iaitu pada 26 Disember.

Bilangan mangsa banjir tertinggi juga dicatatkan pada 26 Disember iaitu 10,643 orang daripada 2,913 keluarga yang berlindung di 134 PPS.

Banjir itu juga mengejutkan ramai pihak apabila gugusan Felda Rasau Kerteh di Ketengah Jaya, Dungun dilanda bencana berkenaan buat kali pertama dalam tempoh 40 tahun yang menyebabkan 260 mangsa dipindahkan ke PPS.

Setelah beberapa hari menyaksikan pertambahan angka mangsa banjir, gelombang ketiga bah di Terengganu mula menunjukkan tanda-tanda pengurangan pada 27 Disember apabila bilangan mangsa yang direkodkan JPBNT berada bawah 10,000 orang.

Mulai 28 Disember, Besut menjadi daerah pertama pulih daripada banjir apabila kesemua PPS di daerah itu ditutup, diikuti Kuala Terengganu, Kemaman, Setiu, Hulu Terengganu, Marang, Dungun dan Kuala Nerus pada hari ini. – Bernama

Related Articles

Back to top button