Semasa

Dr Zaliha arah DBKL tingkat pemantauan, benteras ‘ulat parkir’

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr. Zaliha Mustafa telah mengarahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) membanteras ulat-ulat tempat letak kereta di sekitar ibu negara.

Tegasnya, kegiatan haram seperti itu tidak sepatutnya berlaku dan tindakan tegas juga perlu diambil ke atas mereka yang terlibat.

“Saya telah arahkan DBKL untuk tingkatkan pemantauan dan rondaan serta ambil tindakan ke atas aktiviti ulat parking seperti ini. Tindakan seperti ini tak sepatutnya berlaku,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, tular di laman sosial TikTok video dimuat naik individu yang memaparkan kesan calar pada bahagian pintu keretanya dipercayai dilakukan ulat parkir kerana enggan membayar RM15 caj parkir.

Menurut mangsa, kejadian itu dilaporkan berlaku di kawasan letak kereta berhampiran Maybank di Bukit Bintang.

BACA LAGI: DBKL keluar 35 kompaun, 3 premis makanan kotor diarah tutup

Kegiatan ulat parking bukan sahaja mengutip bayaran secara haram, malah mereka didakwa semakin berani bertindak mengugut serta merosakkan kenderaan jika tidak menerima bayaran.

Difahamkan ratusan lokasi di pusat bandaraya seperti Bukit Bintang serta Sentul, Ampang, Damansara dan lain-lain disyaki menjadi kawasan kegiatan haram itu berleluasa hingga menimbulkan rungutan awam.

Related Articles

Back to top button