Semasa

Kerajaan pertimbang bantuan kepada masjid, surau terjejas banjir

Kerajaan Perpaduan sedia mempertimbangkan bantuan kepada masjid dan surau yang terjejas kejadian banjir baru-baru ini.

Perkara itu dinyatakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar ketika ditemui pemberita dalam satu program di Masjid Tengku Mahkota Abdullah, Jerantut pada Sabtu.

Mengulas lanjut beliau berkata, sekiranya terdapat permohonan diajukan menerusi agensi di bawah kementerian itu, pihaknya sedia menyalurkan bantuan walaupun institusi berkenaan sebenarnya terletak di bawah bidang kuasa kerajaan negeri.

BACA LAGI: Kerajaan salur RM135,000 untuk persiapan gerak kerja pascabanjir

“Kita sebenarnya tiada peruntukan khusus berkaitan bantuan musibah ini, cuma ada sesetengah agensi agama seperti Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) yang ada peruntukan diberikan kerajaan.

“…ada bahagian tertentu pada peruntukan itu untuk bantuan kepada mereka yang terkesan jika berlaku kecemasan, musibah atau sebagainya,.

“Insya-Allah kalau ada permohonan dikemukakan oleh masjid atau surau yang mungkin terkena musibah (banjir) ini, mungkin kita akan pertimbangkan“ jelasnya.

Terdahulu Mohd Na’im menyerahkan sumbangan wang tunai serta barangan seperti keperluan dapur dan kit solat kepada 29 ketua isi rumah (KIR) di Jerantut dan 125 di Raub.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd Na’im turut menyarankan semua masjid dan surau di seluruh negara mengadakan solat hajat bagi mendoakan keselamatan dan kesejahteraan berikutan bencana banjir yang melanda beberapa negeri dan musim Monsun Timur Laut ( MTL) masih berakhir Mac.

Related Articles

Back to top button