Politik

‘Langkah Dubai’ hanya khayalan pembangkang – Ahmad Maslan

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (AMKT) Umno, Ahmad Maslan menyifatkan Langkah Dubai yang direncanakan oleh pemimpin pembangkang bertujuan untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan di bawah pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hanyalah khayalan semata-mata.

Menurutnya yang juga Timbalan Menteri Kerja Raya, perkara itu adalah mustahil kerana tanpa sokongan 30 Ahli Parlimen Umno sekalipun, kerajaan hari ini masih kekal.

“Langkah Dubai? Ini hanya fatamorgana (khayalan).

“Seramai 30 Ahli Parlimen Umno dan Barisan Nasional (BN) sudah menandatangani untuk membayar RM100 juta jika ingin melompat parti.

“Siapa yang ada wang sebanyak itu? Jika 30 ahli yang keluar pun, kerajaan masih kekal dengan 122 sokongan,” katanya menerusi ciapan di aplikasi X pada Ahad.

Ahmad turut menambah, rakyat di negara ini hanya menginginkan kestabilan dan kekuatan ekonomi.

Terdahulu, Timbalan Ketua Pengarah (Komunikasi Komuniti) Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Datuk Ismail Yusop mendakwa Langkah Dubai timbul sewaktu percutian pemimpin Perikatan Nasional (PN) termasuk daripada pihak kerajaan di ibu kota Emiriah Arab Bersatu (UAE), baru-baru ini.

Beliau mendakwa, pertemuan itu berlangsung untuk berunding selain menetapkan tugas tertentu kepada ‘pegawai’ yang dipertanggungjawab untuk mengenal pasti Ahli Parlimen yang berpotensi beralih sokongan kepada pembangkang dengan sogokan, semata-mata mahu menubuhkan kerajaan ‘tebuk atap’.

Selain pemimpin PN, beliau turut mendakwa terdapat juga pembabitan beberapa tokoh politik veteran berpengaruh berpangkat Tun yang bersekongkol dengan pembangkang termasuk dikatakan menggunakan ‘sumber asing’ untuk menggulingkan pentadbiran diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Related Articles

Back to top button