Menteri KSM arah laporan penuh dua kemalangan maut di tempat kerja disegerakan
Menteri Sumber Manusia (KSM), Steven Sim Chee Keong telah mengarahkan laporan penuh berhubung dua insiden kemalangan maut di tempat kerja yang dilapor baru-baru ini disiapkan segera.
Tegasnya, ia perlu untuk memberi keadilan kepada mangsa dan keluarga mereka.
“Saya telah arahkan agensi KSM untuk menyiapkan siasatan segera, Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) kedua-dua negeri telah turun serta-merta di lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan dan notis berkaitan juga telah diberikan.
“Siasatan dan laporan akhir kita telah arahkan untuk dipercepatkan agar dapat beri keadilan kepada mangsa, mungkin dalam seminggu dua ini ia dapat disiapkan,“ katanya kepada pemberita selepas mengadakan Ziarah Prihatin kepada keluarga pekerja penyelenggara lif, R. Tinesh Kumar, 28, di Taman Sri Pinang, di Georgetown pada Sabtu.
Media sebelum ini melaporkan, Tinesh maut maut selepas kepalanya tersepit di lif yang sedang dibaiki di sebuah pusat beli-belah di Jalan Burma, Selasa lepas.
Sehari selepas itu, seorang pekerja kilang di Banting, Nur Ahmad Yusoff Muei, 22, maut selepas terjatuh dari tempat tinggi ketika melakukan kerja-kerja pembersihan di sebuah kilang kitar semula.
BACA LAGI: Pekerja asing dianiaya: KSM akan panggil agensi terlibat
Dalam pada itu, Sim berkata nasib keluarga mendiang Tinesh Kumar terbela apabila mereka layak menerima faedah caruman Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) menerusi Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4).
Menurutnya semakan rekod caruman melayakkan waris mendiang menerima bayaran berkala Faedah Orang Tanggungan (FOT) dan Faedah Pengurusan Mayat (FPM) hingga RM2,000 secara sekali bayar.
‘’Mendiang belum berkahwin, justeru faedah berkenaan akan diberikan kepada bapa, N.Ramachandran, 54, dan ibunya, R.Saraswaty, 51. Mereka akan menerima bayaran FOT untuk sepanjang hayat,‘’ katanya.
Sementara itu Sim menggesa majikan agar sentiasa bertanggungjawab mengawal risiko di tempat kerja bagi memastikan kawasan persekitaran di tempat kerja adalah selamat.