Semasa

Ngeh Koo Ham akui tersilap, mohon maaf dengan tulus hati

Ahli Parlimen Beruas Ngeh Koo Ham membuat memohon maaf dan menarik balik saranannya agar kerajaan melantik pakar daripada orang bukan Islam untuk membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi DUN Untuk Menggubal Undang-undang Islam.

Melalui satu kenyataan, beliau menjelaskan tidak mempunyai niat untuk mencampuri hal ehwal Islam, dan mengakui telah terkhilaf dalam melontar cadangan itu.

“Saya merujuk kenyataan akhbar saya bertarikh 28 Disember di mana saya mencadangkan bukan muslim dan juga seorang ahli badan peguam yang merupakan pakar Perlembagaan dilantik sebagai ahli jawatankuasa yang mengkaji bagaimana mengharmonikan undang-undang syariah dan Perlembagaan Persekutuan.

“Saya menjangkakan proses ini akan melibatkan cadangan untuk meminda Perlembagaan Persekutuan. Cadangan saya adalah untuk memastikan bahawa semua pandangan diambil kira sebelum apa-apa cadangan pindaan di buat.

“Sehingga ia dijelaskan baru-baru ini, saya tidak mengetahui bahawa jawatankuasa khas tersebut sebenarnya telah dibentuk oleh Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) dipengerusikan oleh Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor

“Saya menarik balik cadangan saya dan memohon maaf dengan tulus hati ,” katanya dalam kenyataan dikongsikan di Facebook DAP hari ini.

BACA LAGI: DAP akui ahlinya terkhilaf mengenai cadangan berkaitan j/kuasa khas undang-undang syariah

Terdahulu, Koo Ham mencadangkan supaya kerajaan melantik pakar daripada orang bukan Islam untuk membantu Jawatankuasa Khas Mengkaji Kompetensi Dewan Undangan Negeri (DUN) Untuk Menggubal Undang-Undang Islam.

Cadangan itu menerima kritikan banyak pihak termasuk dari Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke.

Susulan cadangan itu juga, Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitipkan pesanan kepada rakyat khususnya mereka yang bukan beragama Islam agar menghormati dan tidak mencampuri urusan berkaitan hal ehwal agama Islam di Malaysia.

Sultan Sharafuddin bertitah, bahawa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang dipengerusikan oleh baginda memegang amanah dan tanggungjawab bagi melaksanakan segala hal ehwal berkaitan umat Islam

Related Articles

Back to top button