Selangor sedia wujudkan perumahan dan masjid yang musnah di Palestin – MB Selangor
Selangor bakal mewujudkan perumahan dan masjid bagi membantu pembinaan semula Palestin yang musnah dibedil Israel ketika ini.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, hasrat itu merupakan komitmen Kerajaan Negeri terhadap usaha Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (Mapim) yang mahu mewujudkan Bandar Malaysia selepas peperangan selesai.
“Kerajaan Negeri sedia membina keperluan anak-anak Palestin selepas negara itu mencapai keamanan nanti. Kita juga melihat kemungkinan untuk bina kelengkapan dan kemudahan lain.
“Mapim sudah membina 10 masjid di sana seperti Masjid Kampung Tunku, Surau Annur Bangi. Insya-Allah kali ini kerajaan negeri akan bekerjasama dengan masjid-masjid (di Selangor) untuk bina sebuah lagi.
“Ini hasil sumbangan Kerajaan Negeri serta sumbangan hasil kutipan yang dibuat dari masa ke masa,” katanya.
Dalam pada itu, kerajaan negeri turut mendesak agar gencatan senjata segera dapat dilaksanakan supaya bantuan kemanusiaan dapat diagihkan secara besar-besaran dan seterusnya pembunuhan rakyat Palestin dapat dihentikan.
Terdahulu, Amirudin hadir menyertai 500 orang ramai di program Panggilan Intifada Doa Untuk Palestin.
Program sebagai tanda solidariti kepada penduduk Palestin itu berlangsung di tapak karnival Stadium Shah Alam dan turut disertai beberapa artis antaranya Ella, Hijjaz dan Kaka Azraf.
Turut hadir ke acara itu adalah Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) Mohd Azmi Abdul Hamid.