Semasa

Wacana yang baik harus dijulang dan jadi modal cercaan – PM Anwar

Sesuatu wacana yang baik harus dijulang dan bukan dicerca dengan kritikan melampau, khususnya membabitkan konteks ayat suci al-Quran.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan sesetengah pihak menyalahtafsirkan pandangannya yang mana beliau mengingatkan penjawat awam mengenai kepentingan nilai serta akhlak dalam menjalankan tugas, amanah dan tanggungjawab, dengan mengaitkannya dengan kisah pemuda Ashabul Kahfi yang akhirnya berakhir dengan cacian dan cemuhan sebagai keterlaluan serta tidak sepatutnya terjadi.

“Saya kaitkan kisah tujuh pemuda Ashabul Kahfi seperti dalam ayat al-Quran surah Al Kahfi di mana pada masa itu, sistem dan kerajaan serta raja yang zalim itu menyembah berhala, ditolak orang beriman termasuk tujuh pemuda ini yang kemudian berlindung di sebuah gua.

“Mesejnya adalah keteguhan dan kekentalan iman pemuda itu yang membentengi kepada amalan syirik dan kebejatan, justeru adalah wajar penjawat awam mengambil iktibar daripada kisah itu,” katanya melalui aplikasi X.

BACA LAGI: Mantan pemimpin Pejuang selar ulasan melulu Azhar Idrus terhadap PM Anwar

Dalam rakaman video yang turut dikongsi bersama hantaran itu, Anwar berkata, tujuan beliau menyampaikan mesej demikian kepada penjawat awam ialah bagi mengingatkan mereka bahawa di sebalik kemampanan ekonomi, keutamaan pembangunan dan tatakelola, aspek penting perlu berpaksikan kepada keimanan, menjaga nilai dan akhlak.

“Bila saya diangkat sebagai Perdana Menteri, antara buku yang kebetulan pertama diedarkan secara meluas yang saya minta oleh JAKIM (Jabatan Kemajuan Islam Malaysia) ialah kupasan Almarhum Sheikh Dr Taha Jabir al-Alwani, iaitu kitab beliau Adabul Ikhtilaf Fil Islam, adab berbeda pendapat dalam Islam.

“Cerca orang, laknat orang, fitnah orang dengan fakta tidak betul kerana ketaasuban kita bukan kepada Islam tetapi parti sehinggakan orang yang tidak mengikuti dianggap musuh durjana semuanya. Itu yang saya minta dibaca kerana ada kaedah-kaedah berbeda pendapat,” katanya yang menggesa beliau tidak dihukum atas apa yang tidak disebutnya.

Related Articles

Back to top button