Politik

Drama politik ‘Langkah Dubai’ hanya buang masa- Abang Johari

Pengerusi Gabungan Parti Sarawak (GPS), Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyifatkan dakwaan ‘Langkah Dubai’ hanyalah satu perkara yang hanya membuang waktu sahaja.

Beliau berkata, langkah tersebut bakal menimbulkan ketegangan politik sekiranya ia benar berlaku.

“Langkah Dubai? Ia hanya membuang masa,” ujarnya ketika ditanya mengenai dakwaan Langkah Dubai yang tular baru-baru ini.

Abang Johari berkata demikian pada sidang media selepas melakukan tinjauan mesra ke Dataran Ibu Pertiwi lokasi tiang bendera tertinggi bersebelahan Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, pada Isnin.

Jelasnya, tindakan GPS menyokong Kerajaan Persekutuan sekarang berjaya menstabilkan politik negara dan kini memberi tumpuan untuk meningkatkan ekonomi sekali gus menambah pendapatan Sarawak.

“Sebab itu GPS mengutamakan kestabilan Kerajaan Malaysia kerana kita perlu bersaing dengan negara jiran yang lain (dalam mengukuhkan ekonomi).

“Kalau (politik) Malaysia kelam kabut, siapa yang hendak membawa duit (melabur) di negara kita dan jika tiada pelaburan, peluang pekerjaan (untuk rakyat) juga kurang,” katanya.

Pada masa yang sama, Premier Sarawak itu turut terkejut apabila namanya dicalonkan sebagai Perdana Menteri (PM) dalam langkah berkenaan.

“Apabila saya membaca berita, saya hairan nama saya turut dicalonkan sebagai Perdana Menteri, saya agak terkejut.

“Kita dalam GPS perlu ukur di badan sendiri. Kita dalam Parlimen hanya ada 23 kerusi. Kita tidak mahu sekiranya ada calon PM dalam GPS, mereka akan tekan kita, kita (GPS) bukan paloi (bodoh),” tegasnya.

Spekulasi ‘Langkah Dubai’ timbul susulan perbincangan pemimpin pembangkang dan wakil tertentu kerajaan ketika lawatan mereka ke ibu negara Emiriah Arab Bersatu (UAE) baru-baru ini.

Pertemuan itu didakwa bertujuan membahagikan tugas kepada ‘ejen’ untuk mengenal pasti Ahli Parlimen yang boleh menukar sokongan kepada pembangkang bagi membentuk kerajaan baharu.

Related Articles

Back to top button