Global

Gempa bumi di Jepun: PM Anwar dan isteri zahirkan rasa simpati

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail menzahirkan simpati dengan tragedi gempa bumi yang melanda Jepun pada Isnin.

Kerajaan Malaysia menerusi Kementerian Luar dan Kedutaan Malaysia di Jepun jelasnya sedang memantau rapat sebarang perkembangan terkini mengenai bencana tersebut.

“Moga yang terkesan diberi ketabahan dan kesabaran dalam waktu sukar dan mencabar ini, termasuk rakyat kita di sana,” katanya menerusi hantaran Facebooknya malam tadi.

Gempa bumi dengan magnitud 7.6 melanda wilayah Ishikawa di tengah Jepun dengan gegaran dirasai di beberapa wilayah di negara.

Susulan itu amaran tsunami telah dikeluarkan oleh Agensi Meteorologi Jepun (JMA) untuk daerah Noto, menggesa orang ramai segera berpindah berikutan amaran tsunami untuk wilayah Niigata, Toyama dan Ishikawa di sebelah Laut Jepun di negara itu.

Terdahulu, Kementerian Luar Negeri mengesahkan tiada rakyat Malaysia dilaporkan terlibat atau terjejas akibat gempa bumi di negara itu.

Bagaimanapun melalui satu kenyataan, Wisma Putra menasihati rakyat Malaysia di kawasan terjejas supaya sentiasa berwaspada dan mengikuti perkembangan terkini dan nasihat yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.

Wisma Putra juga berkata, Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo sedang memantau rapat situasi semasa dan sebarang perkembangan terkini mengenai kejadian ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.

Pada masa sama, WIsma Putra menasihatkan rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo pada butiran yang diberikan di bawah:

Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo
Alamat : 20-16, Nanpeidai-cho,
Shibuya-ku,
150-0036 Tokyo

No. Telefon : +81-3-3476-3840
+8180-3913-3840 (kecemasan)

Emel : [email protected]
[email protected]

Related Articles

Back to top button