Semasa

KPT galakkan Universiti Awam jadi penyedia kursus jangka pendek

Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Diraja Dr Zambry Abd Kadir menggalakkan Universiti Awam (UA) untuk menjadi penyedia kursus jangka pendek bagi menyokong agenda pembelajaran sepanjang hayat (PSH).

Katanya, permintaan global terhadap kursus jangka pendek adalah tinggi, malah universiti terkemuka dunia seperti Harvard University giat menawarkannya dan ia boleh menjadi cara untuk institusi masing-masing menambah pendapatan.

Beliau turut mencadangkan UA menjalin kerjasama dengan kementerian lain untuk menawarkan kursus jangka pendek mengikut bidang tujahan (niche) masing-masing.

“Kini, kerjasama silang bidang, silang kepakaran dan silang kementerian perlu dilakukan supaya mampu menghasilkan kerjasama yang cekap.

“Selain itu, kursus jangka pendek ini juga boleh ditawarkan kepada pelajar antarabangsa dan usaha ini pastinya mampu menjadi tarikan pelajar luar untuk menyambung pengajian di Malaysia seterusnya menjadikan negara ini hab pendidikan antarabangsa,” katanya.

BACA LAGI: KPT akan tangani segera masalah kediaman pelajar di IPT

Dr Zambry berkata demikian ketika perjumpaan bersama pengurusan tertinggi Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) bersempena dengan sesi lawatan ke Mercu MQA.

Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Dr Megat Sany Megat Ahmad Supian; Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan dan Pembangunan) KPT, Mohamad Azhan Md Amir; Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Prof Dr Azlinda Azman dan Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran.

Sementara itu, Mohammad Shatar berkata, UA juga digalakkan menjadi Pusat Penilaian Pengakreditan Pembelajaran Berasaskan Pengalaman Terdahulu (APEL).

Inisiatif itu jelasnya bagi memberi peluang kepada masyarakat yang tidak mempunyai kelayakan konvensional untuk menyambung pengajian yang diidamkan dalam bidang masing-masing.

Related Articles

Back to top button