Politik

‘Langkah Dubai’ tidak beri kesan kepada Kerajaan Perpaduan, tumpu bangunkan negara – PM Anwar

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan ‘Langkah Dubai’ tidak sesekali akan memberi kesan kepada kedudukan Kerajaan Perpaduan.

Anwar juga tidak mahu mengambil ‘pusing’ mengenai usaha tersebut, sebaliknya mahu memberi fokus kepada usaha membangunkan negara dan menjaga kesejahteraan rakyat.

“Saya baca mengenai ‘Langkah Dubai’ tetapi bagi saya kita tumpu soal kerja.

“Itu kerja mereka (pihak tertentu), tetapi bagi saya tidak beri kesan (Kerajaan Perpaduan) dan yang penting kita sudah mula 2 Januari lancarkan satu program penting bagi rakyat.

“Tumpuan kita bangunkan negara dan jaga rakyat,” katanya kepada media selepas Majlis Peluncuran Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) di PICC, Putrajaya, hari ini.

Turut ditanya mengenai statusnya sebagai Perdana Menteri, Anwar bersyukur kerana sehingga hari ini beliau masih menggalas jawatan nombor satu negara itu.

Terdahulu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan terdapat usaha pihak pembangkang mahu menumbangkan Kerajaan Perpaduan menerusi Langkah Dubai.

Malah, Presiden Umno yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu mengakui beliau menerima laporan ‘perisikan’ berhubung perkara tersebut yang ‘panas’ sejak minggu lalu.

“Laporan dari segi ‘perisikan’ memang kami peroleh seawal penerbangan mereka sampai ke tempat itu, tetapi pada hemat kami, langkah itu membuang masa,” jelasnya.

Related Articles

Back to top button