Nasional

Orang awam boleh kongsi lesen kenderaan motor digital di aplikasi MyJPJ bermula hari ini – Menteri

Kementerian Pengangkutan (MOT) hari ini mengumumkan orang awam boleh membuat perkongsian Lesen Kenderaan Motor Digital (e-LKM) atau ‘digital roadtax’ menggunakan fungsi baharu iaitu ‘Kongsi LKM’ di aplikasi MyJPJ bermula hari ini.

Menterinya Anthony Loke berkata, melalui fungsi baharu itu, pemilik kenderaan boleh berkongsi e-LKM bersama keluarga, rakan-rakan atau individu lain yang dibenarkan oleh pemilik kenderaan.

“Pemilik kenderaan hanya perlu klik nombor plat kenderaan dan seterusnya klik butang ‘Kongsi LKM’ untuk membuat perkongsian e-LKM kepada individu lain.

“Fungsi ini juga mempunyai tempoh had masa perkongsian yang boleh ditetapkan oleh pemilik kenderaan dan mempunyai kod pengaktifan yang perlu diberikan kepada penerima e-LKM berkenaan untuk mengaktifkan perkongsian.

“Sistem juga akan menghapuskan rekod perkongsian sekiranya tidak diaktifkan dalam tempoh 24 jam,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan di Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor di Shah Alam, hari ini.

Beliau berkata, fungsi baharu dalam aplikasi MyJPJ berkenaan dapat menyelesaikan permasalahan yang dihadapi seseorang pengguna yang memandu kenderaan bukan miliknya atau ahli keluarga.

“Sebelum ini orang awam dibenarkan untuk mencetak e-LKM berkenaan bagaimanapun pelbagai persoalan timbul, justeru penambahbaikan dilaksanakan bagi memudahkan pengguna,” katanya.

Pada masa yang sama, Loke berkata pembaharuan Lesen Memandu Malaysia (LMM) dan Lesen Kenderaan Motor (LKM) melalui palikasi MyJPJ turut boleh dilakukan mulai 1 Februari ini.

Menurut beliau, ia akan dilaksanakan secara berfasa dengan peringkat awal hanya melibatkan kenderaan persendirian individu (warganegara).

“Pertambahan fungsi baharu ini akan memudahkan orang awam memperbaharui LKM dan LMM secara digital, menjimatkan masa dan kos serta dapat mengurangkan kesesakan urus niaga secara fizikal di kaunter JPJ,” katanya.

Tambahnya, bagi menggalakkan penggunaan e-LMM, kerajaan akan memberikan rebat RM5 kepada orang ramai yang memperbaharui lesen memandu secara digital yang akan dinikmati hingga 31 Disember 2024.

Related Articles

Back to top button