Semasa

Rakyat Malaysia selamat dalam kejadian gempa bumi di Jepun – Wisma Putra

Setakat laporan terkini, tiada rakyat Malaysia dilaporkan terlibat atau terjejas akibat gempa bumi di Jepun pada Isnin, kata Kementerian Luar (Wisma Putra).

Kementerian Luar melalui Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo sedang memantau rapat perkembangan susulan gempa bumi yang melanda kawasan tengah dan barat Jepun.

“Malaysia menzahirkan rasa simpati dan ucapan takziah kepada mangsa dan keluarga yang terjejas akibat gempa bumi serta kepada rakyat dan Kerajaan Jepun,” menurutnya dalam kenyataan, semalam.

Wisma Putra berkata, rakyat Malaysia di kawasan terjejas dinasihatkan supaya sentiasa berwaspada dan mengikuti perkembangan terkini serta nasihat yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa tempatan.

Gempa bumi kuat dengan magnitud 7.6 yang melanda Jepun itu telah meragut nyawa sekurang-kurangnya enam orang serta mencetuskan ombak tsunami setinggi satu meter.

Menurut pihak berkuasa Jepun, ia turut meruntuhkan kediaman serta mencetuskan kebakaran besar yang membawa kepada kemusnahan besar sepanjang malam.

Skala keroskan gempa tersebut masih dinilai dengan rakaman berita menunjukkan bangunan tumbang, bot karam di pelabuhan, rumah hangus dan penduduk terputus bekalan elektrik dalam suhu semalaman yang sejuk.

Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Tokyo di talian +81-3-3476-3840 atau +8180-3913-3840 (kecemasan) dan e-mel [email protected] atau [email protected].

Related Articles

Back to top button