Semasa

SPRM dijangka panggil bekas PM, pembantu bagi bantu siasatan – laporan

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilapor bakal memanggil seorang bekas perdana menteri dan dua pembantu bagi membantu siasatan.

Menurut laporan media pada Isnin, ia berkaitan tiga kes berasingan yang dikaitkan dengan dakwaan penyelewengan dana.

Difahamkan, satu siasatan akan memfokuskan kekayaan didakwa dikumpul isteri dan anak seorang bekas pegawai tertinggi, manakala siasatan kedua dikaitkan dengan sebuah syarikat petroleum dan ketiga berkaitan wang dibelanjakan untuk tujuan pengiklanan.

“Tiga individu ini akan dipanggil dalam minggu ini.

“Dua pembantu itu pernah berkhidmat untuk dua perdana menteri sebelum ini,” kata sumber dipetik laporan tersebut.

BACA LAGI: SPRM panggil Daim pada masa sesuai

Terdahulu, Utusan Malaysia melaporkan seorang Ahli Parlimen dari sebuah negeri Pantai Timur dan orang kanannya mungkin dipanggil SPRM bagi membantu siasatan di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 serta Akta SPRM 2009.

Seorang daripada individu itu didakwa memberikan projek membabitkan dana awam kepada individu tertentu ketika beliau memimpin negara.

Related Articles

Back to top button