hiburan

Agong berkenan berangkat ke Majlis Tayangan Perdana Pendekar Awang Indera Gajah

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah malam tadi berkenan berangkat ke Majlis Tayangan Perdana Pendekar Awang Darah Indera Gajah di pawagam GSC, IOI City Mall di Putrajaya.

Seri Paduka, yang diiringi Menteri Komunikasi, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil dan Pengerusi Eksekutif serta Penerbit Studio Kembara Sdn Bhd, Abdul Rahman Mt Dali, meluangkan masa hampir dua jam menonton filem itu bersama barisan pelakon antaranya Fattah Amin, Nur Fazura Sharifuddin dan Nur Heliza Helmi.

Abdul Rahman pula menjunjung kasih di atas sudi perkenan Seri Paduka berangkat menyaksikan tayangan perdana sekuel filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan itu, yang juga diterbitkan oleh beliau.

“Sambil berhibur, diharap filem ini mampu meningkatkan rasa cinta kepada negara, hargai perjuangan tanah air dahulu kala dan kali ini, ia turut mengangkat peranan wanita dalam perjuangan mempertahan kedaulatan tanah air,” menurutnya dalam kenyataan sempena tayangan perdana itu.

Filem terbitan Studio Kembara di bawah FINAS itu merupakan sekuel kepada Filem Mat Kilau Kebangkitan Pahlawan yang pernah mencetuskan fenomena filem tempatan pertama dengan rekod pecah pangggung hampir mencecah kutipan RM100 juta.

Filem tersebut akan mula ditayangkan di pawagam seluruh negara bermula 11 Januari 2024 dibintangi barisan pelakon terkenal tanah air antaranya Fattah Amin, Fazura, Nadhir Nasar dan ramai lagi.

Related Articles

Back to top button