Langkah Dubai: Tak perlu ganggu usaha kerajaan wujudkan kestabilan – Ahmad Zahid
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengakui sedar ada usaha dilakukan pihak tertentu bagi menumbangkan kerajaan.
Bercakap dalam satu sidang media di Putrajaya pada Selasa, Presiden UMNO itu berkata, rancangan sulit dipanggil ‘Langkah Dubai’ diketahui sebagi penerbangan membawa pihak itu sampai ke Dubai.
“Laporan dari segi perisikan memang kami peroleh seawal penerbangan mereka sampai ke tempat itu. Laporan selepas itu kami peroleh juga, tapi pada hemat kami, langkah itu hanya membuang masa,” tegasnya.
Baru-baru ini muncul desas-desus mengenai ‘Langkah Dubai’ yang didakwa digerakkan untuk menjatuhkan Kerajaan Perpaduan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Selain pemimpin pembangkang, ‘Langkah Dubai’ didakwa turut disertai tokoh politik veteran berpengaruh berpangkat Tun yang bersekongkol dengan pembangkang, termasuk dituduh menggunakan ‘sumber asing’ untuk menggulingkan pentadbiran diterajui Anwar.
Beberapa pemimpin pembangkang walau bagaimanapun menafikan bahawa wujudnya rancangan seumpama itu.
BACA LAGI: ‘Rakyat memang tunggu giliran Tun M dan Tun Daim disiasat’ – Puad Zarkashi
Sementara itu Ahmad Zahid menegaskan sebarang langkah menukar kerajaan menerusi akuan bersumpah (SD) bukan satu cara yang baik.
Beliau turut menggesa pemimpin terbabit agar mengamalkan politik matang dan menunggu sehingga pilihan raya umum akan datang jika mahu membentuk kerajaan baru.
Keutamaan kerajaan ketika ini kata beliau, adalah untuk membangunkan negara terutama dari segi membangun ekonomi dan beri kesejahteraan kepada rakyat.
“Apa yang penting, apabila rakyat sudah beri mandat kepada parti dan dokongan kepada ahli-ahli Parlimen dipilih dan kini kita dapati Kerajaan Perpaduan ada sokongan dua pertiga, ertinya rakyat harus diberikan keadilan supaya politik dimantapkan.
“Kerajaan yang ada mahu beri tumpuan untuk perkukuhkan ekonomi, membantu rakyat dan mewujudkan kestabilan dibawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya.