ekonomi

PADU bantu kerajaan urus fiskal dengan lebih berkesan – Penganalisis

Seorang penganalisis ekonomi menyambut baik pengenalan sistem Pangkalan Data Utama (PADU) oleh kerajaan.

Profesor Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid dari UniKL Business School berkata, PADU merupakan struktur awal ke arah pelaksanaan mekanisme subsidi bersasar.

Tambahnya, melalui subsidi bersasar, ia bakal menyaksikan pengurusan fiskal yang lebih berhemah sekaligus berupaya mengimbangi hutang negara.

Tambahnya, penggunaan data analitik masa sebenar juga adalah langkah ke hadapan dalam sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan.

Ia berupaya menangani soal ketirisan dalam penyaluran inisiatif rakyat agar benar-benar sampai kepada golongan sasar mengikut keperluan.

BACA LAGI: PADU hasil kerja keras penjawat awam, tidak babitkan kontraktor luar seperti ditohmahkan

“PADU diwujudkan untuk memastikan bukan pendapatan kasar isi rumah diambil kira seperti klasifikasi Bank Dunia yang kurang tepat seperti T20, B40, M40 tetapi mengambil kira perbelanjaan isi rumah yang sebenar.

“Ini termasuklah mengambil kira lokasi tempat tinggal dan tempat bekerja seperti di bandar mahu pun di kampung. Pengelasan pendapatan boleh belanja (Nett Disposable Income) boleh diperolehi dengan tepat oleh kerajaan,” katanya dipetik.

PADU dibangunkan melalui kepakaran dalaman Kementerian Ekonomi, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU), dengan kerjasama serta sokongan pelbagai kementerian, agensi serta kerajaan negeri.

Ia sejajar dengan pendekatan transformasi digital negara dalam penyasaran semula subsidi supaya dapat dilaksanakan dengan lebih baik.

Related Articles

Back to top button