Anwar

PADU dilancar untuk henti ketirisan, kebocoran – PM Anwar

Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) diharap dapat membantu usaha membasmi kemiskinan tegar di negara ini, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, sistem PADU yang dilancarkan pada Selasa adalah bertujuan menghentikan ketirisan dan kebocoran sekali gus memastikan hanya mereka yang berhak dapat menikmati subsidi serta manfaat lain menerusi penyasaran subsidi berkesan.

“Selama ini kerajaan membelanjakan sekitar RM22 bilion untuk membantu rakyat miskin dan mereka yang memerlukan khususnya di desa dan pedalaman.

“Namun, semua kajian menunjukkan tidak semua peruntukan itu sampai kepada golongan sasar kerana wujud pelbagai ketirisan.

“Bahkan subsidi yang kini berjumlah hampir RM80 bilion yang sepatutnya hanya dinikmati orang susah, turut dinikmati 3.5 juta warga asing dan golongan maha kaya,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook, hari ini.

Anwar menjelaskan, tidak mungkin masih wujud miskin tegar dalam negara ini sekiranya perbelanjaan berjumlah RM22 bilion dan subsidi RM80 bilion itu semuanya sampai kepada golongan terbabit.

“Kerana itu saya tidak sanggup untuk membiarkan ketirisan dana kerajaan ini berterusan atau membenarkan hak orang susah dirampas golongan kaya dan berkemampuan.

“Justeru, ia dilancarkan bertujuan menghentikan ketirisan dan kebocoran ini bagi memastikan hanya mereka yang berhak dapat menikmati subsidi serta manfaat lain menerusi penyasaran subsidi yang berkesan,” katanya.

Pendaftaran PADU dibuka secara langsung bermula semalam sehingga 31 Mac depan bagi membolehkan orang ramai mengemas kini serta mengesahkan maklumat peribadi seperti nombor kad pengenalan, bilangan isi rumah dan alamat.

Semua rakyat berumur 18 tahun ke atas perlu mendaftar dan membuat semakan data di portal PADU yakni https://padu.gov.my/

Related Articles

Back to top button