Semasa

Portal DELIMa dalam keadaan baik, tiada aduan digodam – Menteri

Tiada sebarang aduan rasmi diterima Kementerian Pendidikan (KPM) dakwaan portal Inisiatif Pembelajaran Pendidikan Digital Malaysia (DELIMa) digodam.

Menterinya Fadhlina Sidek berkata, platform pembelajaran dalam talian itu setakat ini berada dalam keadaan yang baik.

“Kita belum terima sebarang aduan rasmi. Walau bagaimanapun, sekiranya ada berlaku perkara tersebut (digodam) diminta untuk melaporkannya supaya kita boleh dapat tahu.

“Setakat ini, semua berada dalam keadaan yang baik,” katanya dalam satu sidang media di Putrajaya pada Selasa.

BACA LAGI: Tambahan RM3 juta untuk tuisyen rakyat, bukti komitmen Selangor tingkat pendidikan

Pada Isnin, media melaporkan platform pembelajaran dalam talian di bawah KPM itu dikatakan diserang penggodam secara berperingkat sehingga mengakibatkan sejumlah guru kehilangan akses terhadap akaun.

Mesej yang tular di aplikasi Whatapp menggesa kata laluan akaun guru-guru dan menggunakan ia untuk tujuan peribadi.

“Sekiranya e-wallet, akaun Shoppee atau Lazada cikgu-cikgu mnggunakan e-mel Kementerian Pendidikan sila set semula kata laluan dengan kadar segera. Jangan gunakan akaun tersebut untuk sebarang urusan dalam talian melibatkan duit.

“Penggodam beli permainan dalam talian, dan bayar menggunakan e-wallet cikgu-cikgu,” menurut mesej tersebut.

Related Articles

Back to top button