Nasional

Rafizi nafi pendaftaran PADU melalui proses e-KYC 3 hari, cuma kurang 5 minit

Menteri Ekonomi, Mohd Rafizi Ramli menolak dakwaan kononnya proses e-KYC (Kenali Pelanggan Anda Menerusi Platform Digital) iaitu memuat naik swafoto dan kad pengenalan untuk pendaftaran Sistem Pangkalan Data Utama (PADU) akan mengambil masa tiga hari.

Menerusi ciapan Rafizi di platform X, beliau berkata, proses itu hanya mengambil masa kurang lima minit untuk disahkan setakat ini.

“Piawaian industri e-KYC yang diberikan oleh sistem e-KYC dalam pasaran menyebut tiga hari (seperti juga aplikasi yang ada dalam pasaran), tetapi setakat ini, e-KYC bagi pengguna yang mendaftar (untuk PADU) hanya mengambil masa kurang lima minit untuk disahkan.

“Setakat 5 petang (semalam), lebih 40,000 e-KYC telah disahkan dan pendaftaran dalam baris gilir e-KYC (untuk disahkan) ialah dalam 300.

“Dengan prestasi sedia ada seperti ini, insya-Allah e-KYC akan diproses oleh algoritma dalam tempoh kurang lima minit, jadi tidak timbul e-KYC akan mengambil masa tiga hari,” katanya.

Terdahulu, bekas Ahli Parlimen Bangi, Ong Kian Ming menerusi X meminta orang ramai segera mendaftar di portal PADU kerana bimbang maklumat kad pengenalan boleh digunakan individu lain kerana kelulusan e-KYC yang mengambil masa tiga hari.

Mengulas perkara itu, Rafizi berkata sekiranya berlaku keadaan akaun mana-mana individu didaftarkan oleh orang lain, pengguna boleh terus ke meja bantuan yang terdapat dalam talian, menghubungi pusat panggilan atau ke kaunter fizikal.

Pangkalan Data Utama (PADU) adalah platform komprehensif yang mengandungi maklumat profil individu dan isi rumah meliputi warganegara serta pemastautin tetap di Malaysia.

Ia merupakan pangkalan data utama negara yang selamat dan ‘near real time’ ke arah digitalisasi. PADU juga membantu proses penggubalan dasar dan proses membuat keputusan yang berpacukan data.

Ia bagi membolehkan pelaksanaan dasar secara bersasar bagi mengimbangi kedudukan fiskal. Kerajaan akan lebih mudah menyasarkan subsidi dan bantuan yang sewajarnya kepada golongan yang memerlukan.

Pendaftaran PADU kini dibuka kepada rakyat Malaysia bermula 2 Januari 2024 sehingga 31 Mac 2024 bagi membolehkan orang ramai mengemaskini serta mengesahkan 39 item maklumat peribadi seperti nombor kada pengenalan, bilangan isi rumah dan alamat.

Semua rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas perlu mendaftar dan membuat semakan data di portal PADU melalui laman sesawang https://padu.gov.my/auth/daftar

Related Articles

Back to top button