Semasa

Semua institusi KPM terjejas banjir telah beroperasi seperti biasa – Fadhlina

Semua institusi pendidikan bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang terjejas banjir termasuk yang dijadikan pusat pemindahan sementara (PPS) beroperasi seperti biasa.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek dalam satu Sidang Media Khas bagi mengulas perkembangan terkini institusi KPM di Putrajaya pada Selasa berkata, 133 sekolah rendah, 23 sekolah menengah dan satu pusat permata terjejas dalam bencana banjir baru-baru ini.

“Laporan awal yang diterima, anggaran kerosakan akibat banjir kali ini melebihi RM1 juta yang melibatkan kerosakan perabot, pagar dan fizikal bangunan di negeri terlibat banjir, serta aset yang tidak boleh dipindahkan di Kelantan, Terengganu dan Pahang.

“PPD dan JPN sedang mengumpulkan anggaran kerosakan yang dialami oleh institusi pendidikan di bawah KPM yang terlibat dengan banjir.

“Laporan berhubung anggaran kerosakan ini kita akan terima sepenuhnya kelak,insya-Allah,” kata Fadhlina,” katanya.

Mengulas lanjut, Fadhlina memaklumkan sekolah-sekolah terlibat akan menerima bantuan RM2,000 daripada rakan sinerginya, Yayasan Guru Tun Hussein Onn.

BACA LAGI: KKM hantar pasukan, beri khidmat sokongan emosi untuk mangsa banjir

Sementara itu, KPM turut memberi kebenaran kepada pelajar terjejas akibat banjir hadir ke sekolah dengan berpakaian biasa.

“Bagi anak-anak yang terjejas dengan banjir atau ada pakaian mereka hanyut ataupun kita panggil ‘total loss’, menyebabkan mereka tiada pakaian ke sekolah.

“Jadi, kita setuju supaya mereka boleh datang ke sekolah menggunakan pakaian biasa asalkan berpakaian ke sekolah,” tambah Ahli Parlimen Nibong Tebal itu.

Dalam pada itu, bagi murid KPM yang dilaporkan lemas di Kelantan, tuntutan takaful sebanyak RM5,500 jelasnya akan diserahkan kepada keluarga mangsa.

Related Articles

Back to top button