Fahmi setuju fungsi J-KOM diselaras semula
Fungsi Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) yang kini di bawah seliaan Kementerian Komunikasi akan diselaras semula supaya dapat disesuaikan dengan tugas seperti dihasratkan oleh Kerajaan Perpaduan.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil berkata, usaha meneliti semula fungsi J-KOM penting supaya tugas, objektif dan matlamat jabatan itu dapat diselaras termasuk mengubah modus operandinya.
Penelitian mengenai perkara itu jelasnya akan memakan masa dan ketika ini masih terlalu awal untuk membuat sebarang pengumuman berkaitan perkara terbabit.
BACA LAGI: PADU mudahkan kerajaan rangka dasar sesuai bantu rakyat – Fahmi
“Sebelum isu ini berbangkit pun, saya sudah mula untuk meneliti semula fungsi J-KOM, tetapi masih terlalu awal untuk membuat apa-apa pengumuman.
“Memang kita lihat perlu ada penyesuaian beberapa fungsi dan tugas selaras dengan hasrat Kerajaan MADANI untuk dilaksanakan oleh agensi termasuk J-KOM,” katanya pada satu sidang media di Putrajaya.
J-KOM ditubuh pada 1 Feb 2021 memainkan peranan mewujudkan komunikasi dua hala antara kerajaan dan rakyat.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Dr Puad Zarkashi pada Rabu menyarankan agensi itu dirombak secara menyeluruh atau dilakukan penjenamaan semula.